19 November hari mengundi PRU15
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan 19 November sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) serentak dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Bugaya, Sabah.
Disamping itu, SPR juga menerima surat pemakluman rasmi pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi tiga negeri iaitu Pahang, Perlis, pada tarikh 14 Oktober dan Perak pada 17 Oktober.
SPR telah mengadakan mesyuarat khas pada hari ini dan memutuskan PRU15 akan diadakan bagi mengisi kekosongan 222 kerusi Dewan Rakyat serta 42 kerusi Dewan Negeri Pahang, 15 kerusi Dewan Negeri Perlis dan 59 kerusi Dewan Negeri Perak.
Sementara hari penamaan calon pula ditetapkan pada 5 November manakala hari pengundian awal ialah pada 15 November ini.
Perkara itu dimaklumkan Pengerusinya, Tan Sri Abdul Ghani Salleh, dalam sidang media di Menara SPR, Putrajaya sebentar tadi.
Tarikh itu turut terpakai bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya di Sabah serta Pahang, Perlis dan Perak.
Bagi DUN Pahang ia akan melibatkan 42 kerusi, Perak 59 kerusi dan 15 kerusi di Perlis.
Keluar Writ pada 22 Oktober 2022
Hari Penamaan pada 5 November 2022
Hari Mengundi Awal pada 15 November 2022
Hari Mengundi pada 19 November 2022
Bagi urusan permohonan semua kategori undi pos luar dan dalam negara pula telah dibuka pada 10 Oktober 2022 dan 13 Oktober 2022 bagi PRK DUN Bugaya Sabah.
Tarikh tutup permohonan pula ialah :
1A Petugas Pilihanraya SPR dan anggota polis, petugas media pada 2 November 2022
1B Warganegara Malaysia yang ada di luar negara pada 23 Oktober 2022
1C Agensi serta organisasi pada 26 Oktober 2022.
Bagi menjalankan proses PRU15, SPR telah melantik 222 pegawai pengurus pilihanraya dan dibantu dengan 1,264 orang penolong pegawai pengurus manakala untuk membantu kempen sepanjang tempoh rasmi berkempen, SPR menubuhkan 625 petugas kempen yang turut dianggotai wakil daripada pihak polis, PDRM, pihak kuasa tempatan serta wakil-wakil calon yang bertanding.