22 bulan tidak cukup, hanya alasan PH – Ahmad Zahid
Tempoh 22 bulan kononnya tidak cukup untuk menjadi kerajaan hanya satu-satu alasan yang boleh digunakan oleh Pakatan Harapan (PH).
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, rakyat yang bijak pada hari ini pula berpendapat sebaliknya dan tidak termakan dengan alasan tersebut.
“Rakyat masa kini yang bijaksana, namun berpendapat sebaliknya. Nasib baik PH cuma mentadbir 22 bulan.
“Jika lebih panjang nescaya Malaysia semakin rosak,” kata Zahid dalam satu hantaran di Facebooknya.
Hal ini kerana, sepanjang pemerintahan PH, mereka bertindak melantik Setiausaha Agung DAP sendiri sebagai Peguam Negara manakala aktivis Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula dilantik sebagai Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Selain itu, Menteri Kewangan di bawah pentadbiran PH pula pernah mengeluarkan kenyataan rasmi yang berbaur politik sehingga mengakibatkan pasaran saham terjejas.
“Perdana Menterinya membuat kenyataan yang menjejaskan hubungan diplomatik dan ekonomi Malaysia.
“Perkembangan ekonomi jadi paling perlahan sejak suku ketiga 2009. Masa itu Covid-19 belum menular,” tambah Zahid.
Dalam masa yang sama, PH juga bertindak mengurangkan kebajikan rakyat termasuklah bantuan wang tunai dengan menggunakan pelbagai alasan tanpa menjaga hati rakyat.
Antara alasan yang digunakan dan masih diingati ialah BN kononnya memanjakan rakyat dan rakyat sepatutnya tidak perlu ada hak untuk mendapatkan wang tanpa sebarang kerja.
“Tidak hantar wakil bela Malaysia dalam isu tuntutan waris Kesultanan Sulu, malah menulis surat ‘mengaku salah’. Malaysia terlepas kedaulatan Pulau Batu Puteh apabila PH menarik balik semakan penghakiman.
“PH menjual aset-aset negara dengan alasan pembaziran tetapi hutang negara terus meningkat,” kata Zahid lagi.
Dalam pada itu, Zahid juga menyebut tentang kata-kata yang pernah dikeluarkan mereka sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
“Dalam 5 jam macam-macam orang boleh buat apatah lagi 5 tahun. Jangan main-main tuan-tuan dengan 5 tahun. Benda lain kita boleh cuba 5 kali setahun. Bab kuasa (pentadbiran negara) kita tidak boleh main-main”
Maka, Zahid memberi peringatan kepada rakyat untuk sentiasa berhati-hati apabila datangnya ‘suara’ daripada PH untuk memilih mereka menjadi kerajaan sekali lagi.
“Jangan biarkan mereka fikir rakyat terlalu naif dan semudah itu untuk masuk ke perangkap yang sama. Yakini Barisan Nasional (BN) demi Malaysia bangkit untuk masa depan negara kembali cemerlang dan gemilang,” tambah beliau lagi.