5 sebab PRU perlu disegerakan sebelum musim banjir

Umum mengetahui isu banjir kebelakangan ini kerap menjadi salah satu ‘senjata’ utama oleh pihak pembangkang bagi mengelakkan Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) disegerakan.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki tampil ke hadapan dengan menyatakan beberapa sebab mengapa Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) perlu diadakan.
“Menstabilkan semula ekonomi. Faktor sebuah kerajaan dengan mandat rakyat adalah antara keutamaan pelabur asing. Pelabur tidak berminat untuk datang ke negara yang mempunyai sebuah kerajaan yang tidak stabil.
“Apabila Melaka mengadakan Pilihanraya Negeri pada November 2021 dan BN menang dengan mandat sah rakyat, ia merupakan satu faktor penarik kepada pelabur. Suku pertama 2022, pelaburan dalam sektor pembuatan di Melaka sahaja adalah RM2.6 bilion,” kata Asyraf dalam satu kenyataan di hantaran Facebooknya.
Beliau menambah, kesan positif yang berlaku pada Melaka apabila meletakkan mandat rakyat sebagai keutamaan, Melaka telah tersenarai dalam Top 5 sekaligus meninggalkan negeri-negeri yang jauh lebih besar daripadanya.
Begitu juga yang berlaku kepada Johor setelah berjaya membentuk kerajaan melalui mandat rakyat, tahun ini sahaja Johor berjaya mencatatkan jumlah pelaburan sebanyak RM61 bilion dalam tempoh enam bukan pertama.
“Memastikan Kerajaan efektif hadapi bencana. Tragedi banjir Sri Muda pada akhir tahun lepas adalah satu tanda kerajaan hari ini dianggotai oleh Menteri-Menteri yang tidak kompeten,” tambah Asyraf.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh tindakan pantas jentera parti, NGO dan orang pensendirian dalam menghulurkan bantuan kepada rakyat berbanding segelintir menteri.
Bukan itu sahaja, malah terdapat juga agensi yang terpaksa ‘bypass’ arahan Menteri dengan mendahulukan keperluan dan bantuan kepada rakyat susulan Menteri yang dilantik bukan berdasarkan kemampuan.
“Memastikan Kerajaan efektif hadapi krisis ekonomi global. Seluruh dunia menjangkakan bahawa satu krisis ekonomi besar akan berlaku tahun hadapan. Tanpa sebuah kerajaan yang efektif, kompeten dan berkemampuan, negara ini tidak akan mampu berhadapan dengan krisis yang dijangkakan lebih buruk daripada The Great Recession 1929.
“Kita telah berjaya dengan cemerlang dan antara negara pertama yang berjaya keluar daripada krisis ekonomi 2009. Maka dengan krisis tahun hadapan yang dijangka lebih besar, adakah kita boleh bergantung harap kepada sebuah Kerajaan hibrid atau campuran yang di dalamnya saling bersaing dan ugut-mengugut (untuk tekan ‘button’)?,” soal Asyraf.
Kenyataan beliau dikuatkan lagi dengan situasi apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini menjadi punca yang membawa kerosakan ekonomi negara walaupun tiada sebarang krisis ekonomi global tahun mereka memerintah, 2018 hingga 2019.
“Memastikan tiada sabotaj dalam Kerajaan. Sudah beberapa kali TS Muhyiddin mengeluarkan kenyataan yang buruk kepada kerajaan walaupun beliau adalah Pengerusi MPN bertaraf menteri. Kali terakhir adalah pada beberapa hari lepas apabila menuduh Perdana Menteri gagal menguruskan ekonomi.
“Sedangkan Menteri-Menteri utama yang terlibat dalam ekonomi adalah daripada partinya sendiri dan kenyataan ini sebenarnya mengganggu tumpuan pelabur dan memberi imej buruk kepada kerajaan secara keseluruhan,” jelas Asyraf.
Beliau menegaskan, impak dari sabotaj yang dilakukan adalah hal yang tidak boleh dilepas pandang dan kerana itu kerajaan dengan mandat baru yang sah perlu dibentuk dengan segera bagi membenarkan perkara ini terus berulang.
Akhir sekali, Asyraf menekankan menjadi satu propaganda kepada pembangkang yang mendakwa PRU perlu disegerakan kerana UMNO gila kuasa sedangkan hakikatnya adalah menyerahkan kembali mandat kepada rakyat.
“UMNO secara konsisten sudah berpendirian bahawa mandat rakyat mesti dikembalikan sejak krisis Februari 2020.
“Jika rakyat memilih untuk menolak UMNO sekali lagi, kami redha selagi mana hak rakyat itu dikembalikan. Andai UMNO gila kuasa, sudah pasti kami akan meminta negara ini didaruratkan sekali lagi melebihi tempoh penggal,” tambahnya.
Sekali lagi beliau bertegas Malaysia ada sebuah hak demokrasi dan menjadi hak kepada rakyat untuk memilih sebuah kerajaan yang stabil dimana ianya adalah tunjang kepada sistem tersebut.
Malaysia adalah sebuah negara demokrasi. Dan hak rakyat bagi memilih sebuah kerajaan yang stabil adalah tunjang kepada sistem ini.