Agong ingatkan elak provokasi, fitnah semasa kempen
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru calon dan penyokong parti-parti politik mengamalkan pendekatan berhemah sepanjang tempoh berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Hari ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon pada 5 November ini manakala mengundi awal 15 November dan hari mengundi pada 19 November ini.
Dalam satu kenyataan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan, Seri Paduka Baginda menasihatkan semua calon agar bertanding secara sihat dan mengelakkan kempen menyerang serta akur dengan garis panduan undang-undang dan peraturan ditetapkan oleh SPR dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ahmad Fadil turut memaklumkan, Baginda berkenan menerima taklimat persiapan PDRM dan agensi berkaitan bagi tempoh PRU-15 serta kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan banjir yang melibatkan seramai 99,133 pegawai dan anggota.
Pada hemat Baginda, kerjasama baik dari semua pihak amat penting, di samping menghormati dan menjunjung tinggi institusi kehakiman negara serta sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan dengan menjadikan kerjasama politik antara parti lebih harmoni.
Justeru, Baginda menyeru seluruh rakyat bersama-sama mendoakan semoga PRU15 kelak berjalan lancar dan selamat
Ia bagi memastikan rakyat dan negara sentiasa diberkati, dirahmati serta dilindungi daripada sebarang bentuk bencana dan musibah.