Barisan Nasional (BN) memandang serius berkaitan isu pengkhianatan yang berlaku dalam parti untuk memastikan tidak ada ‘gunting dalam lipatan’ berbaki dalam BN.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan mana-mana ahli UMNO yang tidak terpilih sebagai calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan masih bertanding sebagai pihak lawan berdepan pemecatan secara automatik.

Pemecatan itu turut terpakai pada ahli-ahli UMNO yang bertindak menjadi penyokong dan pencadang kepada calon tersebut.

“Bagi mereka yang tidak terpilih sebagai calon dan menjadi calon parti lawan, maka mengikut fasa-fasa tertentu dalam perlembagaan UMNO dan perlembagaan BN, parti mempunyai hak untuk memecat mereka secara automatik.

“Begitu juga pencadang kepada calon dan penyokong calon yang bertanding di luar BN sekiranya turut terlibat menyokong calon yang bukan BN.

“Ia merupakan langkah yang biasa kerana kita mengikut tatacara dan tataetika yang terdapat dalam perlembagaan UMNO dan BN,” katanya kepada pemberita.

Selain itu, beliau memaklumkan bahawa ini kali pertama BN meletakkan calon untuk parti yang menjadi parti bersekutu kepada BN atau Friends of BN.

Tambahnya, BN meletakkan dua calon sebagai ‘Calon Terus (CT)’ dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) biarpun calon tersebut belum menjadi ahli mana-mana parti komponen BN.

Antara calon yang menjadi CT ialah Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali di Kuala Nerus dan Datuk Che Abdullah Mat Nawi di Tumpat.

Katanya, ini adalah antara perubahan yang ‘dihidangkan’ kepada para pengundi yang akan mengundi di kawasan-kawasan tersebut.

Terdahulu, penyandang kerusi Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Parlimen Padang Besar Datuk Zahidi Zainul Abidin mengesahkan akan tetap bertanding walaupun mereka tidak dinamakan sebagai calon BN.