Ahmad Zahid nafi arah calon tandatangan surat sokongan sebagai PM
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menafikan khabar angin yang mendakwa beliau mengarahkan calon menandatangani surat sokongan yang memberi beliau mandat untuk membentuk barisan Kabinet sekiranya Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Beliau yang menyifatkan perkara itu sebagai tidak benar, turut menolak dakwaan bahawa calon UMNO diminta menandatangani surat melantiknya sebagai Perdana Menteri.
“Itu tipu,” katanya ringkas.
Ahmad Zahid diminta mengulas laporan sebuah portal semalam bahawa calon yang diberikan watikah pelantikan turut diminta menandatangani surat yang menyokong Presiden UMNO itu sebagai Perdana Menteri (PM) dan membentuk Kabinet baharu.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid enggan mengulas mengenai kemelut dalaman berkait pemilihan calon BN bagi kerusi Parlimen Arau pada PRU15.
“Tunggu malam ini untuk jelaskan spekulasi,” kata beliau yang merujuk dakwaan semua bilik gerakan di Parlimen itu ditutup kerana tidak berpuas hati apabila penyandangnya, Datuk Seri Shahidan Kassim tidak dicalonkan semula.