Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi optimis menjalankan amanah dan tanggungjawab bagi seluruh rakyat Bagan Datuk dengan mempertahankan kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menerusi satu hantaran di laman Facebook beliau, Ahmad Zahid yakin kepercayaan yang diberikan oleh rakyat bukanlah satu hadiah malahan satu tanggungjawab untuk beliau terus berkhidmat di Bagan Datuk.

“Saya perlu berusaha membawa pelbagai pembangunan demi kesejahteraan masyarakat berbilang kaum dan agama. Pembangunan itu haruslah diseimbangkan agar hidup masyarakat Bagan Datuk damai dan sentosa tidak terkesan,” kata Ahmad Zahid.

Melalui hantaran itu juga, Ahmad Zahid turut menyenaraikan beberapa pembangunan yang telah dibuat di Bagan Datuk ketika di bawah kepimpinan beliau. Antaranya:-

  1. Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Bagan Datuk bernilai RM101.3 juta (telah siap)
  2. Kompleks Sukan Bagan Datuk bernilai RM32.3 juta (telah siap)
  3. Tiga buah Rumah Pam bernilai RM2.817 juta (telah siap)

4. Pembelian dan pembaikan bangunan bagi kegunaan Pejabat Kebajikan Daerah Bagan Datuk (telah siap)

5. Klinik Kesihatan Hutan Melintang dengan kuarters bernilai RM5.294 juta (telah siap)

6. Naik taraf laluan Simpang Empat Hutan Melintang – Parit 19 bernilai RM94.979 juta (telah siap)

7. Politeknik Bagan Datuk bernilai RM165.1 juta (dalam pelaksanaan)

8. Jambatan Bagan Datuk bernilai RM408.7 juta (dalam pelaksanaan)

9. Kem askar wataniah bernilai RM26.5 juta (dalam pelaksanaan)

10. Dewan Serbaguna di Mukim Rungkup bernilai RM3.289 juta (dalam pelaksanaan)

11. Kompleks Masjid Tuminah berserta Dewan Serbaguna dan Pusat Pengajian Al-Quran bernilai RM50 juta (dalam pelaksanaan)

Ahmad Zahid turut menekankan yang langit tidak selalu cerah, sudah tentu akan tiba waktu masyarakat Bagan Datuk diuji.

“Menjelang PRU15 pada Sabtu ini (esok), ‘musuh’ kita muncul semula di Bagan Datuk untuk melampiaskan hasutan politik mereka. Kali ini dengan agenda yang lebih besar untuk menyekat Pengerusi BN dan Presiden UMNO,” ujarnya.

Tambah beliau, terdapat banyak projek pembangunan di Bagan Datuk telah dibatalkan pihak lawan ketika mereka berkuasa termasuklah:-

  1. Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bagan Datuk bernilai RM141 juta
  2. Pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Datuk bernilai RM12 juta

3. Pembinaan Kolej Komuniti Bagan Datuk bernilai RM36.5 juta

4. Pembinaan Hotel di Bagan Datuk bernilai RM73.5 juta

5. Pembangunan Infrastruktur Bagan Datuk Watercity (BDWC) – NCIA bernilai RM603.8 juta

6. Persimpangan Bertingkat (Flyover) dari FT005 ke FT069 Hutan Melintang bernilai RM202.4 juta

7. Pembinaan Infrastruktur Perak Heavy Industrial Park (PHIP) – NCIA bernilai RM606.3 juta

8. Naik taraf laluan FT069 Parit 19 – Pekan Bagan Datuk bernilai RM529 juta

9. Klinik Kesihatan Bagan Datuk Water City bernilai RM30 juta

10. Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan bernilai RM36.5 juta

11. Kompleks Pentadbiran Daerah Bagan Datuk bernilai RM41.6 juta

12. SMKA Bagan Datuk bernilai RM75 juta

13. Bagan Datuk Digital Library bernilai RM5.4 juta

14. Ibu Pejabat Polis Daerah Bagan Datuk bernilai RM138 juta

15. Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Bagan Datuk bernilai RM140 juta

Ahmad Zahid menjelaskan semua projek yang telah dibatalkan selepas PRU14 itu sebenarnya akan memajukan lagi taraf ekonomi masyarakat Bagan Datuk kerana membuka banyak peluang pekerjaan bagi penduduk setempat.

Di akhir hantaran itu, Ahmad Zahid sempat mengingatkan masyarakat Bagan Datuk supaya mengundilah dengan bijaksana kerana undi mereka bukan hanya penentu kepada masa depan Bagan Datuk tetapi juga masa hadapan Malaysia.

“Undi anda antara penentu terpenting sama ada kestabilan demi kemakmuran dapat dipulihkan pada PRU15. Semoga rakyat Bagan Datuk membuat pilihan tepat mengundi BN bukan saja demi Bagan Datuk tetapi untuk Malaysia,“ katanya.