Rakyat tidak lagi teruja dengan aura Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi Datuk Dr Puad Zarkashi.

Sindiran ini dibuat apabila Lim Kit Siang menyatakan sokongan sekiranya Ketua Pembangkang itu menjadi Perdana Menteri (PM) ke-10.

“Pada Lim Kit Siang, Anwar adalah calon PM ke 10 yang lebih baik berbanding Zahid Hamidi, Ismail Sabri, Muhyiddin Yassin atau Hadi Awang.

“Nama Tun Mahathir nampaknya tercicir. Tun Mahathir umum dia masih ingin jadi PM ke 10. Sebab itu beliau sedia berbaik semula dengan Anwar,” kata Puad dalam satu hantaran di Facebook beliau.

Jelas Puad, sokongan yang dinyatakan Kit Siang kepada Anwar adalah kerana tidak mahu perkara sebelum ini berulang lagi di mana Tun Mahathir telah memungkiri janji untuk menyerahkan jawatan PM kepada Anwar selepasnya.

Namun begitu, Anwar dikatakan sudah tidak ada lagi ‘wow factor’ bagi membolehkan beliau menjadi PM selain daripada permainan politik yang telah digunakan sejak dari dulu lagi.

“Nama Anwar dijulang bukan berasaskan dasar dan hala tuju yang kukuh. Anwar merancang jadi PM melalui ‘game’ politik yang basi dan tidak lagi disukai rakyat.

“Rakyat tidak lagi ‘excited’ dengan aura Anwar. DAP main api. Tambun adalah medan yang boleh menjadikan impian DAP dan Anwar kena timbun,” tambah Puad lagi.