Asyraf Wajdi cadang isu pendidikan masuk dalam manifesto BN
Isu pendidikan menjadi bualan hangat dalam kalangan rakyat Malaysia susulan perdebatan yang berlaku antara seorang cikgu sekolah dan pihak atasan.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memberikan beberapa cadangan yang boleh dimasukkan dalam manifesto Barisan Nasional (BN).
“Kami bertemu dengan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Seri Alias Ahmad dan kami sempat berbincang tentang isu-isu terkini pendidikan dalam negara.
“Antara isu utama yang masih berlegar ketika ini adalah isu beg sekolah yang berat dan membebankan lebih lima juta pelajar sekolah menengah serta rendah,” kata Asyraf dalam hantaran Facebooknya.
Antara penyelesaian yang dicadangkan ialah penggunaan buku teks ditukar kepada tablet yang lebih efektif dan selaras dengan kemajuan teknologi hari ini.
Asyraf yang membuat perbandingan dengan harga Peranti Siswa yang dianggarkan bernilai RM800 seunit, anggaran sebanyak RM4 bilion diperlukan untuk memastikan semua pelajar dapat menggunakan tablet dalam proses pembelajaran.
“Sebenarnya, perkara ini sering dibincangkan dalam Kementerian Pendidikan, namun kekangan utama lazimnya adalah berkisar tentang capaian internet khususnya di kawasan luar bandar.
“Namun, seperti yang kami bincangkan, fasa awal masih boleh dilakukan dengan menggunakan tablet ini sebagai pengganti buku teks sepenuhnya secara offline terlebih dahulu.
Seterusnya, Asyraf turut mencadangkan agar tablet akan memuat naik semula semua subjek dan mata pelajaran dalam bentuk e-book kerana tablet akan bertahan lebih lama berbanding buku teks.
Jika ada sebarang perubahan terhadap silibus mahupun subjek pembelajaran, ia dapat ditukar dalam bentuk aplikasi atau e-book yang sedia ada dalam tablet tersebut.
“Jumlah RM4 bilion memang nampak besar namun jika dibahagikan kepada satu tempoh RMK (5 tahun), yakni RM800 juta setahun, ia boleh dijadikan sebahagian peruntukan bajet tahunan Kementerian Pendidikan yang bernilai sekitar RM55 bilion setahun.
“Ini pandangan kami sewaktu bersarapan bersama tadi, apa pula pandangan anda terhadap cadangan penggunaan tablet ini?,” soalnya.
Tambah Asyraf, sekiranya cadangan yang telah dikemukakan mendapat persetujuan ramai, maka beliau akan membawa cadangan ini ke peringkat kepimpinan tertinggi untuk dimasukkan dalam Manifesto BN menggunakan tema ‘Kestabilan dan Kemakmuran’.