Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengesahkan beliau adalah antara calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) namun tidak menyatakan sama ada bertanding di peringkat Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beliau mengesahkan hal tersebut dalam sidang media selepas Mesyuarat Khas Exco Pemuda UMNO yang diadakan di Menara Dato’ Onn, hari ini.

“Kita mahu Barisan Nasional (BN) menampilkan lebih ramai calon-calon baharu dan calon-calon muda yang boleh memberikan isyarat bahawa BN ini komited untuk mewajahkan parti sebagai parti yang melakukan rejuvenasi di tahap pembaharuan yang tinggi dalam segi dalamannya,” kata Asyraf dalam satu kenyataan kepada media.

Selain itu, beliau juga mengakui komitmen yang telah diberikan oleh pucuk pimpinan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Johor sebelum ini.

Terdahulu, 79 peratus dan 84 peratus muka baharu telah berjaya ditampilkan oleh BN dalam PRN Melaka serta Johor.

Dalam masa yang sama, Asyraf juga menyebut menjadi kali pertama, seramai 13 orang di peringkat Pemuda BN yang menjadi wakil-wakil rakyat dan lapan daripada mereka telahpun dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri.

“Menjadi satu bukti bahawa apabila Pengerusi BN menyatakan komitmennya untuk melakukan perubahan dan mewajahkan UMNO serta BN dengan wajah yang baharu.

“Kita sudahpun merealisasikan dalam kedua-dua PRN dan saya percaya apabila Pengerusi BN mengatakan sekurang-kurangnya 70 peratus muka-muka baharu akan ditonjolkan.

“Kami di peringkat Pergerakan Pemuda sudahpun menghantar senarai calon-calon di peringkat Parlimen dan peringkat DUN kepada Pengerusi BN,” tambah Asyraf lagi.