Berhati-hatilah rakyat Malaysia dengan bisikan fitnah pembangkang
Pelbagai persepsi buruk dicipta pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) untuk menjatuhkan Barisan Nasional (BN).
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pelbagai tuduhan tidak berasas dilemparkan semata-mata mahu rakyat memandang serong terhadap BN.
“Sebelum ini pembangkang mencipta banyak persepsi konon pilihan raya berlangsung secara tidak adil.
“Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dipertanggungjawabkan untuk menjayakan demokrasi tidak terlepas daripada menjadi mangsa fitnah mereka,” katanya menerusi satu hantaran Facebook.
Ahmad Zahid menambah, BN turut dituduh membawa masuk warga asing ke Malaysia untuk menambah jumlah pengundi.
Selain itu, pembangkang juga mereka cerita berkaitan insiden lampu terpadam sewaktu pihak bertanggungjawab sedang mengira peti undi.
Parti pembangkang hanya ingin memporak-porandakan keadaan dan membuatkan rakyat berasa kurang senang dengan BN.
Meskipun tewas pada PRU14 angkara politik fitnah, penipuan dan janji palsu lawan, BN masih menghormati mandat rakyat dan menerima keputusan tersebut dengan hati yang terbuka walaupun ia memeritkan.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid meluahkan rasa kesal dengan kekalahan BN yang berpunca daripada kelicikan parti lawan bermain persepsi.
“Justeru, BN yang tidak dapat membentuk kerajaan pada 9 Mei 2018 berusaha bangkit semula.
“Bukan melalui rusuhan jalanan, fitnah dan pembohongan tetapi melalui fakta serta kebenaran. Kini menjelang PRU15, usaha mereka untuk menghasut kembali kedengaran,” katanya.
Maka, rakyat Malaysia perlu lebih berhati-hati dan waspada dalam membuat keputusan pada PRU15.