Berkempen bukan sahaja untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tetapi harus dilihat lebih kehadapan, wajar dengan slogan Barisan Nasional (BN) yang menitikberatkan kestabilan dan kemakmuran.

Pengalaman BN memerintah selama 62 tahun menjadi asbab Ikon Muda BN Selangor, Datuk Adi Putra memilih BN sebagai parti pilihan sejak dulu lagi.

Manakala, Pelakon, Johan As’ari berasakan pengalaman membesar bersama bapanya yang merupakan seorang ahli politik dari BN telah sedikit sebanyak mendidik jati dirinya.

“Kita nak pergi bukan sahaja berkempen untuk PRU15, kita nak lihat lagi 5 tahun akan datang dan seterusnya, itulah yang slogan BN ada kestabilan dan kemakmuran,” kata Adi Putra dalam temu bual Bicara Nasional malam tadi.

Adi Putra menambah, kestabilan yang diinginkan adalah tidak berunsur tohmahan, calon PRU15 seharusnya memilih kaedah yang sihat dan matang untuk berkempen dan tanggapan serta persepti itu merupakan lumrah daripada rakyat.

“Kestabilan itu yang kita inginkan, tidak ada unsur-unsur tohmahan pihak lawan dan sebagainya, jadi kalau kita nak berlawan biarlah berlawan dari segi kaedah yang sihat dan matang dan tanggapan serta persepsi itu lumrah daripada rakyat,” katanya.

Mengulas tentang pengundi muda atau ‘first time voter’ Adi Putra berpandangan sejarah harus dipupuk kepada golongan tersebut agar mereka dapat menilai lebih baik dengan ilmu yang ada.

“Sejarah tu sangat penting terutamanya kepada pengundi muda atau ‘first time voter’ sebab sejarah ni tidak akan hilang sampai bila-bila cuma sejarah ni kita harus terjemahkan supaya ilmiah yang ada diberi kepada ‘first time voter’ atau pengundi pertama atau pengundi muda,” jelasnya.

Selain itu, beliau juga mengharapkan agar pengundi muda menjalankan kewajipan mereka sebagai pengundi pertama demi kestabilan dan kemakmuran negara.