Setiausaha Komunikasi Barisan Nasional (BN Comms), Dazma Shah Daud menyelar tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan Surat Akujanji palsu.

Menurut beliau, terdapat peningkatan yang ketara dalan penyebaran maklumat atau berita palsu mengenai pemimpin mahupun ahli dari parti UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Keadaan ini boleh menimbulkan kekeliruan dan kegusaran di kalangan orang ramai malah menjejaskan nama pemimpin tertinggi parti.

“BN Comms menyelar tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan perkara sedemikian kerana BN Comms bertindak proaktif dalam mengekang peningkatan berita palsu,” kata Dazma dalam satu sidang media, hari ini.

Beliau menegaskan, mengekang peningkatan tersebut terutamanya dalam konteks isu politik yang melibatkan BN di sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menjadi fokus utama.

Dalam pada itu, satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Dang Wangi, dan di Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengenai penularan dokumen palsu Surat Akujanji tersebut di Facebook dan Twitter.

“Surat Akujanji tersebut mendakwa calon Ahli Parlimen dipaksa menandatangani surat sokongan untuk melantik Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Perdana Menteri selepas PRU15.

“Ingin ditegaskan sekali lagi, sebarang penyebaran maklumat BN hanya akan dikeluarkan melalui platform rasmi Barisan Nasional, BN Comms, dan UMNO Online,” jelasnya.

Sebarang maklumat ataupun info, sila rujuk laman web rasmi Komunikasi Barisan Nasional (BN Comms) untuk maklumat lanjut.