Perhimpunan Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran ini adalah cukup signifikan satu signal kepada ahli-ahli parti Barisan Nasional (BN) untuk merampas kembali Kedah dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Itu ketegasan yang disuarakan oleh Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO ketika sedang berucap dalam Program Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran petang ini di Dataran Serdang, Pekan Serdang, Bandar Baharu, Kedah.

“Ini kali kedua adakan pertemuan dan sebab itu saya merasakan perhimpunan ini cukup signifikan untuk kita semua kerana menjadi satu signal kepada ahli-ahli parti kita, bahawa jika dalam pilihanraya yang lalu kita hilang Kedah.

“Kali ini kita berazam untuk meraih semula kemenangan, merampas semula kerusi-kerusi yang telah hilang, Kedah akan ada target 10 kerusi Parlimen,” kata Zahid dalam ucapannya.

Menurut Zahid, solidariti yang menggunakan tema kestabilan dan kemakmuran adalah cukup penting untuk ahli parti melakukan muhasabah serta memperbaiki kesilapan yang lalu disamping mengakui kelemahan sendiri.

Selain itu, beliau juga menyebut tentang landskap politik Kedah yang telah berubah namun mengarahkan semua pemimpin kawasan tersebut untuk merampas kembali kerusi.

“Apabila kita bercakap tentang kestabilan, ianya merupakan kestabilan politik dan mana pernah kita dapat tiga Perdana Menteri dalam tempoh satu penggal.

“2018 ketika itu saya menyatakan kita perlu berazam sebelum PRU15 kita mesti jadi kerajaan namun ramai orang yang tidak yakin dan mencebik bibir tapi sekarang jelas, kita sedang berada di bawah pimpinan PM dari UMNO,” katanya.

Disamping itu, beliau menekankan agar ahli dan jentera B untuk wajib turun padang demi membawa kembali rakyat yang selama ini tersalah membuat keputusan untuk kembali menyokong calon-calon BN.

Begitu juga dengan golongan yang berada di atas pagar serta mereka yang pertama kali mendaftar sebagai pengundi.

Jelasnya, beliau yakin dengan kerjasama dari jentera BN dan jentera yang berada di akar umbi akan melaksanakan tugas dengan jujur serta amanah dalam memastikan setiap calon parti akan menang dengan cemerlang di kerusi yang ditandingi.

“Sebab apa yang kita janjikan bukan janji palsu. Apa yang terdapat dalam manifesto telah dinyatakan dalam ucapan belanjawan Menteri Kewangan merupakan saranan daripada PM.

“Saya yakin PM akan mendengar setiap keluhan rakyat, setiap rintihan akar umbi dan setiap rakyat yang susah pasti kerajaan BN akan mengambil kepedulian terhadap nasib rakyat.

“Untuk itu, kita mahu supaya kerusi-kerusi yang dulu kita kecundang, kita mesti rampas kembali kerusi DUN dan kerusi Parlimen yang kecundang,” ujar Zahid lagi.