Barisan Nasional (BN) menyelar kenyataan yang dikeluarkan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli yang mengugut untuk mengambil tindakan terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki jika Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi BN Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, perkara itu perlu dipandang serius kerana SPRM menyiasat mengikut peruntukan undang-undang tanpa mengira parti  politik.

“Ugutan dan ancaman ini bererti mana-mana sahaja individu daripada PH yang disiasat oleh SPRM selepas ini akan menjadi satu kesalahan dan penjawat awam tersebut perlu dihukum.

“Situasi ini amat membimbangkan kerana tindakan Rafizi untuk mengugut dan mengancam penjawat awam bukan sahaja mendatangkan kesukaran terhadap penjawat awam menjalankan fungsi yang telah diberikan, sebaliknya SPRM akan digunakan sebagai alat untuk memenuhi keperluan dan kepentingan PH sahaja sekiranya mereka berpeluang menjadi kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Dalam pada itu, Tengku Adnan berkata, SPRM menjalankan siasatan terhadap Rafizi disebabkan oleh pengisytiharan harta yang telah dilakukan sendiri oleh calon PH kerusi Pandan itu tanpa paksaan daripada mana mana pihak.

Katanya, sewajarnya, Rafizi bersifat lebih terbuka dan berani untuk siasatan dilakukan terhadap perolehan asetnya kerana itulah tujuan kenapa pengisytiharan harta dilakukan di peringkat yang pertama.