Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii mengingatkan semua rakyat Malaysia berhubung segala masalah yang menghantui semua pihak sepanjang pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Ingat balik sebelum PRU14, rakyat tidak pernah ada masalah hidup bersama dengan kerajaan Barisan Nasional, sebaliknya rakyat bermasalah apabila hidup bersama kerajaan Pakatan Harapan, rakyat bermasalah apabila hidup bersama dalam kerajaan Perikatan Nasional – mereka buat darurat untuk kekalkan kuasa yang menyebabkan ekonomi kita merudum.

“17 bulan Muhyiddin Yassin jadi perdana menteri, dia buat darurat, (menyebabkan) pelabur asing kita lari. (pelabur) tidak mahu pun datang melabur ke dalam negara kita waima yang ada (melabur) dalam negara pun lari keluar melabur ke negara-negara ASEAN yang lain,” katanya dalam program Pentas Barisan Nasional malam tadi.

Justeru, demi mencapai matlamat bagi memakmurkan rakyat, kestabilan politik perlulah dicapai terlebih dahulu dengan memberi mandat yang besar kepada Barisan Nasional (BN) bagi mentadbir negara pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Tegasnya lagi, sejarah negara ini tidak pernah lagi mencatat peristiwa yang memaparkan kerajaan Barisan Nasional mengheret rakyat ke kancah yang teruk kerana dasar-dasar yang diperkenalkan oleh BN tidak menekan rakyat sebaliknya sentiasa memperkasakan kepentingan rakyat.

“Tetapi sayang yang mereka buat selama 22 bulan, terlalu banyak rakyat terasa dengan kerajaan seperti subsidi dipotong, baja di kampung-kampung tidak ada, waima jika melihat berkenaan (subsidi) diesel di kampung-kampung nelayan mereka tidak dapat keluar untuk mencari sesuap nasi dengan mencari ikan di lautan kerana dipotong subsidi disel.

“Bukan itu sahaja, makcik yang bekerja di sekolah sebagai pembersih pun gajinya mereka tidak bayar.

“Inilah contoh kesilapan kerajaan Pakatan Harapan yang ketika itu mereka hanya sibuk berpolitik yang membalas dendam kepada Barisan Nasional, mereka tidak hiraukan rakyat. 120 ribu penjawat awam yang diberhentikan dalam satu malam dan kebanyakan mereka ini mempunyai tanggungan untuk membayar hutang kereta, untuk membayar rumah dan untuk membesarkan anak yang kecil,” katanya.

Menurut Razlan lagi, tindakan tersebut bersandarkan dendam tidak masuk akal kerajaan PH terhadap pemimpin-pemimpin BN sehingga beranggapan bahawa penjawat awam juga merupakan tali barut kepada pemimpin-pemimpin BN.

“Yang mereka peduli ketika itu adalah 120 ribu (penjawat awam) tersebut perlu dibuang kerana mereka ini kononnya adalah orang-orang Barisan Nasional. Mereka buang dengan dendam mereka kononnya kesemua 120 ribu orang ini yang akan memecahkan berita atau pun perkara-perkara sulit dalam kerajaan.

“Inilah perkara yang saya lihat merupakan dendam kesumat (Pakatan Harapan), bukan sahaja dendam kesumat terhadap pemimpin-pemimpin Barisan Nasional, mereka juga dendam terhadap seorang makcik pembancuh teh dalam pejabat menteri sekalipun,” tambah Razlan.