Bung, Alamin, Arthur antara pertahankan kerusi Parlimen BN di Sabah
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Bung Moktar Radin dan penyandang kerusi Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin diumumkan mempertahankan kerusi masing-masing pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Turut diumumkan mempertahankan kerusi pada PRU15 kali ini adalah Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup bagi kerusi Parlimen Pensiangan.
Pengumuman itu diumumkan sendiri Bung Moktar pada majlis pengumuman calon bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang turut dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Pengerusi GRS.
Selain Bung, Mohamad dan Arthur turut diumumkan lapan lagi calon yang bakal bertanding atas tiket BN berdasarkan rundingan yang telah disepakati bersama GRS.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Abdul Rahman Dahlan diumumkan akan bertanding di kerusi Parlimen Kota Belud; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, Datuk Yakub Khan (Sepanggar) dan ADUN Tanjung Keramat, Datuk Ir Shahelmey Yahya (Putatan).
Muka baharu turut ditampilkan BN pada pilihan raya kali ini iaitu Datuk Aminah Aching yang akan bertanding merebut kerusi Parlimen Beaufort yang sebelum ini ditandingi penyandang Datuk Seri Azizah Mohd Dun dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah.
Bekas ADUN Kemabong, Jamawi Jaafar diumumkan akan bertanding bagi kerusi parlimen Tenom yang menjadi antara kerusi hangat pada pilihan raya kali ini.
Tiga lagi muka baharu yang dipertaruhkan BN Sabah pada pilihan raya kali ini adalah Datuk Suhami Nasir yang akan bertanding di kerusi Parlimen Libaran; Datin Maizatul Akmam Alawi (Lahad Datu) dan Aslam Fadli Samsul Alang yang akan bertanding di kerusi Parlimen Kalabakan.
Sebuah lagi kerusi Parlimen masih belum diumumkan iaitu kerusi Parlimen Beluran yang masih dalam perbincangan bersama GRS.
BN Sabah juga akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya dimana akan mempertaruhkan calon iaitu Abdul Azizi Mohd Ibno.