Jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) tidak tergugat meskipun mendapat berita penarikan diri Datuk Mohamad Kazim Elias atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim sebagai calon BN di Parlimen Larut pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ini kerana penggantinya, Ketua Koordinator Komunikasi BN, Mohd. Shafiq Fhadly Mahmud bukan calang-calang individu kerana beliau memiliki aura kepimpinan selain memenuhi kritaria calon profesional muda.

Keputusan tersebut diumumkan sendiri Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad pada pengumuman calon BN negeri hari ini.

Ketika ditemui, Shafiq Fhadly memberitahu, beliau telah bersedia untuk membawa cabaran BN merampas semula kerusi Parlimen Larut.

“Larut adalah kerusi BN yang sememangnya patut dikembalikan menerusi kuasa rakyat.

“Walaupun hanya mengetahui pencalonan ini pagi tadi dan cuma dimaklumkan untuk bertanding DUN, saya tetap bersedia kerana ini merupakan amanah pemimpin,” ujar anak ketiga daripada 4 adik-beradik itu.

Shafiq Fhadly adalah graduan Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian dalam Kejuruteraan Mekanikal dengan pengkhususan Petroleum.

Beliau juga merupakan pemegang Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan yang kini calon Ijazah Doktor Falsafah di Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia.

Bekas pelajar Maktab Rendah Sains MARA Balik Pulau ini memegang jawatan selaku Ketua Koordinator Komunikasi BN dan Ketua Penerangan Pemuda UMNO Larut.