Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyelar tindakan sesetengah pihak yang menularkan sebuah video rakaman ucapan beliau yang di ‘potong’ oleh pembangkang bertujuan menimbulkan fitnah dan hasutan kepada rakyat.

“Apa yang terdesak sangat pihak lawan BN terpaksa menipu yang tidak sudah-sudah?

“Ini kali kedua rakaman ucapan saya mereka ‘potong’ dan sebarkan. Gunakanlah teknologi yang ada untuk kebaikan, bukan kebatilan,” katanya dalam posting terbaru di Facebook.

Sehubungan itu, beliau telah menayangkan semula video suntingan rakaman ucapan penuh di dalam satu hantaran Facebook miliknya hari ini.

Video ucapan yang dipotong tersebut kononnya Zahid akan menyekat jika ada orang profesional dan profesor mahu menyertai UMNO.

Namun sebaliknya, melalui video penuh ketika Zahid berucap beliau merujuk zaman ‘warlord’ yang menyekat golongan profesional telah berlalu.

Beliau juga menekankan jika Selangor mahu menang ia memerlukan perubahan dan terima sesiapa mereka yang taat pada parti untuk bersama-sama berjuang.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan ini adalah cara mereka memfitnah pemimpin BN pada PRU14 dan mereka sedang mengulanginya untuk PRU15 ini.

“Berpolitik jangan hilang pertimbangan hukum dan insaniah” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan untuk menyebarkan video rakaman penuhnya agar rakyat tidak tertipu dan percaya dengan fitnah yang dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Sudah-sudahlah dengan cara berpolitik menipu, menghasut dan memfitnah.

“Saya lampirkan video yang disunting dengan ucapan penuh saya. Sebarkan agar rakyat tidak tertipu dan percaya fitnah oleh pihak yang tidak pernah takut akan dosa.”