Hasil tinjauan yang diumumkan baru-baru ini adalah satu strategi baharu musuh Barisan Nasional (BN) untuk melihat sentimen pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, rakyat tidak perlu percaya dengan hasil tinjauan itu kerana ia berbaur penipuan dan hanya ingin mengelirukan rakyat semata-mata.

“Tinjauan ini dilihat sebagai satu muslihat yang dilakukan seseorang yang mempunyai kaitan rapat dengan parti politik tertentu dan bermotif untuk menjatuhkan BN.

“Dapatan ‘survey’ seumpama ini janganlah dipercayai bulat-bulat oleh rakyat.

“Ini kerana terdapat pengelola ‘survey’ yang rapat dengan sesebuah parti politik tertentu. Terdapat juga ‘survey’ walaupun luaran tidak rapat dengan parti tertentu, namun mesra dengan pemimpin atau wakil pemimpin tertentu,” katanya menerusi satu hantaran Facebook.

Ahmad Zahid menjelaskan, meskipun sampel pengundi adakalanya tidak sama seperti angka yang dilaporkan, segelintir pihak ingin menunjukkan tinjauan itu seolah-olah menggambarkan pendirian 21 juta pengundi negara.

Tambahnya, soalan berkaitan undian itu biasanya tidak akan dijawab oleh kebanyakan masyarakat kerana undi itu rahsia, apatah lagi jika ditanya melalui panggilan telefon secara rambang.

“Adakalanya soalan ditanya melalui panggilan telefon secara rambang. Sudah pasti pengundi yang dihubungi itu tidak akan memberikan jawapan sebenar terutamanya dalam soalan kecenderungan pengundi lebih-lebih lagi kita selalu diberitahu bahawa undi itu adalah rahsia pengundi.

“Jadi, amat sukar bagi pengundi yang dihubungi itu berterus-terang mengenai isi hati mereka. Lebih-lebih lagi soalan yang bertalu-talu ditanya menyebabkan ketidakselesaan, ditambah lagi nombor diperoleh tak diminta izin terlebih dahulu daripada tuan badan,” katanya.

Selain itu, terdapat pihak tertentu yang melakukan ‘psy war’ atau perang psikologi supaya pihak lawan berasa tergugat dengan kedudukan mereka yang sudah jauh di hadapan sedangkan realitinya lain.

“Misalnya Perikatan Nasional (PN) cuba bermain perang psikologi di media sosial seolah-olah mampu memenangi banyak kerusi.

“Banyak juga perang psikologi seperti menggunakan platform TikTok untuk sampaikan dakyah palsu populariti mereka,” katanya.

Mustahil untuk PN memenangi 25 kerusi di seluruh negara kerana jumlah ahli mereka yang sedikit selain tidak yakin dengan perjuangan PN sehingga terpaksa keluar daripada Bersatu beramai-ramai.

Sangat jelas, PN tidak popular dan sudah ditolak di peringkat akar umbi rakyat negara kita kerana PN hanyalah bersifat ‘kosmetik’ semata-mata.

Justeru itu, beliau berharap ahli BN tidak terpengaruh dengan dakyah palsu musuh menjelang PRU15 ini.