Pengundi hari ini lebih memikirkan parti politik mana yang mampu menubuhkan kerajaan yang lebih stabil, kata Penganalis Politik, Prof Dr Azmi Hassan.

Menurut beliau, walaupun minat dengan individu politik namun parti haruslah diutamakan terlebih dahulu setelah 4 tahun bergelumang dengan politik yang memualkan.

“Bagi saya adalah fikir parti dahulu kerana parti yang stabil akan mampu menubuhkan kerajaan. Barisan Nasional (BN) sudah ada sejarah, Pakatan Harapan (PH) sudah ada sejarah, Perikatan Nasional (PN) pun sudah ada sejarah yang terkini.

“Ambil contoh sejarah terkini ketiga-tiga parti dan rakyat tidak perlu keliru lagi untuk memilih siapa,” kata Azmi dalam progam Bicara Nasional, hari ini.

Mengulas lanjut kenyataan beliau sendiri yang menyatakan gabungan antara PN dan Pas adalah satu hal yang mendukacitakan untuk PN, beliau berkata Pas hakikatnya sudah tahu PN tidak akan dapat menubuhkan kerajaan kerana kekuatannya yang tidak cukup.

Seperti kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, kononnya Pas akan bekerjasama dengan BN menunjukkan mereka mengakui kelemahan PN dalam membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

“Jadi Pas cuba buka pintu untuk bekerjasama dengan BN. Agenda lain Pas adalah untuk meredakan kekecewaan akar umbi Pas yang tidak yakin dengan gabungan bersama PN.

“Hakikatnya kenyataan Pas dapat meruntuhkan PN dan Pas terdesak. Jadi Pas terpaksa mengeluarkan kenyataan seperti itu,” tambahnya lagi.