Sebelum ini, Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau lebih dikenali RUU355 tidak sempat dibentangkan kerana pembubaran Parlimen, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Idris Ahmad.

Menurut Idris yang juga pemimpin Pas berkata, beliau berharap agar RUU355 tersebut dapat dibentangkan di Parlimen oleh kerajaan baharu, selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Umum mengetahui, RUU355 ini merupakan antara intipati penting dalam kempen pilihan raya PAS sejak sekian lama dan sudah pasti pada PRU15 kali ini RUU355 sekali lagi seperti kelaziman akan menjadi modal utama Pas untuk menarik pengundi Melayu dan Islam.

Jika disingkap 30 bulan ke belakang, terdapat tiga menteri dan lima orang timbalan menteri Pas dalam Kabinet kerajaan yang sepatutnya boleh memberi ruang yang mudah untuk RUU355 dibentangkan.

Namun sehingga kini, selama 30 bulan berada dalam tampuk kerajaan RUU355 masih dalam proses penelitian.

Paling menarik, dua-dua Menteri Agama dan Timbalannya adalah dari parti yang sama ‘memperjuangkan’ RUU355 ini, iaitu Pas.

Tambahan Presiden Pas sendiri, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang juga merupakan Duta Khas bertaraf Menteri, tetapi nasib RUU355 masih dalam proses penelitian tanpa sebarang kemajuan.

Bercakap berkenaan pembentangan Rang Undang-undang di Parlimen, pada Sidang 18 Julai hingga 4 Ogos tahun ini, Dewan Rakyat mencatatkan sejarah baharu apabila 25 RUU telah diluluskan.

Bagi sebuah parti yang kononnya mahu memperjuang, menegak dan memartabat Islam di negara ini, adakah RUU355 ini sudah tidak penting atau sudah tidak berfungsi untuk memartabatkan Islam pada pandangan Pas?

Atau adakah RUU355 hanya menjadi alat kempen untuk menipu ahli dan pengundi Pas semata-mata?

Jika diimbas berkenaan RUU Anti Lompat Parti, Barisan Nasional yang diketuai oleh Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman, hanya memerlukan masa tidak sampai setahun untuk merealisasikan RUU tersebut.

Berbanding Idris Ahmad yang juga merupakan Menteri Agama dalam kerajaan, sekiranya beliau dan Pas serius untuk merealisasikan pembentangan RUU tersebut, sudah pasti beliau mempunyai masa yang lebih daripada sepatutnya untuk menjayakan RUU berkenaan seperti yang sepatutnya.

Namun, Idris Ahmad dan Pas gagal sepenuhnya.