Gerak kerja jentera Barisan Nasional (BN) berjalan dengan lancar dan baik setelah masuk minggu kedua, kata Pengarah Pilihan Raya BN, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Menurut Mohamad yang juga Calon BN Parlimen Rembau, beliau telah memantau bilik gerakan BN setiap hari di setiap kawasan serta menghubungi Pengerusi BN setiap negeri bagi memberi maklum balas mengenai sebarang pandangan untuk diambil tindakan.

“Setakat ini kempen pilihan raya berjalan amat baik bahkan ia amat tenang tidak seperti Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). Bahkan jentera BN dan parti lain menjalankan kempen dengan tersusun.

“Ini saya rasa disebabkan oleh pengundi telah lama membuat keputusan untuk parti mana mereka nak sokong sejak tiga tahun lalu selepas BN menang tujuh Pilihan Raya Kecil (PRK) dan diikuti Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Saya menyeru dan mengarahkan ‘command center’ untuk membuat surat pekeliling agar usaha gerak kerja jentera dipertingkatkan dengan lebih lagi berikutan sudah masuk minggu akhir,” kata Mohamad dalam satu sidang media hari ini.

Dalam pada itu, beliau juga menyatakan gerak kerja menyantuni serta menghubungi pengundi untuk mengenal pasti siapa yang berada di pihak BN telah dilakukan dan ianya berjalan sebaik sahaja tewas dalam PRU14 yang lalu.

Mohamad menzahirkan rasa sukacita beliau apabila keputusan menghubungi pengundi setakat ini menunjukkan laporan yang positif walaupun masih ada dua atau tiga tempat yang perlu ditangani.

“Setakat hari ini kedudukan BN adalah lebih baik jika dibandingkan dengan keputusan PRU14 namun jentera perlu terus menggerakkan semua jentera masing-masing untuk kita pastikan hari mengundi nanti dapat menonjolkan semua pengundi BN.

“Esok pengundi awal, saya minta supaya berikanlah sokongan kepada BN. Kerana selepas PRU15, Malaysia memerlukan kerajaan yang mantap, stabil dan kuat. Kita tak mampu lagi kerajaan campuran yang banyak parti sehingga nak uruskan negara jadi satu masalah yang besar kerana masing-masing perlu rujuk parti sendiri,” ujarnya.

Tegas beliau, pelabur dari luar juga akan berhenti untuk berurusan dengan Malaysia susulan negara yang sering bertukar kerajaan sekaligus menjadikan dasar juga diubah suai mengikut selera parti masing-masing.

Menjawab soalan menarik pengundi orang muda, Mohamad menekankan mereka adalah golongan yang cuba menghantar satu mesej kepada negara tentang pilihan mereka.

Hal itu boleh disaksikan ketika PRN di Johor dan Melaka sebelum ini.

“PRN Johor adalah undi kali pertama untuk mereka yang berumur 18 tahun. Mengejutkan, semua saluran muda kita menang.

“Kita menang di saluran 7, 8, 9 dan 10. Mereka hantar mesej yang kuat, mereka tidak mahu lagi ditipu dan mereka mahu kerajaan yang stabil serta kuat supaya masa depan mereka terjamin.

“Jangan lupa Bersatu sebahagian daripada Pakatan Harapan (PH). Mereka juga merangka manifesto yang tidak ditepati. Sekarang mereka berjuang macam tak ada apa-apa kesalahan sedangkan mereka dari PH sebelum ini,” tambahnya lagi.