Hati-hati dengan berita ‘petik sumber’ tentang BN
Rakyat Malaysia dinasihatkan berhati-hati apabila dihidangkan dengan berita tentang Barisan Nasional (BN) yang didakwa ‘memetik sumber’.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan, kemungkinan berita yang disebar menggunakan terma tersebut mempunyai muslihat tertentu.
“Sumber itu boleh menjadi siapa sahaja. Mungkin sahaja berita itu disasarkan untuk menyumbang kepada kepentingan sumber atau rakan subahat mereka.
“Sebagai contoh, berita yang ‘memetik sumber’ kononnya saya tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15,” katanya.
Zahid menerusi hantaran Facebooknya turut mengingatkan rakyat Malaysia agar meneliti terlebih dahulu sama ada sesuatu berita itu dilaporkan dengan asas yang kukuh.
“Saya pengerusi BN sentiasa menghormati kebebasan media untuk melaporkan berita.
“Sebagai insan, saya amat memahami keperluan media melaporkan bahan untuk meraih perhatian pembaca. Namun, dengan hanya berdasarkan sumber atau khabar angin, bermakna maklumat tersebut ketiadaan asas yang tepat,” katanya.
Di samping itu, beliau menyeru rakyat Malaysia agar tidak mudah dimanipulasi oleh pihak yang berselindung di sebalik nama ‘sumber’.
“Saya jangkakan lebih banyak laporan tentang BN menggunakan sumber bakal dihidangkan kepada rakyat menjelang PRU15.
“Pengalaman PRU14 pada 9 Mei 2018 harus menjadi panduan dan teladan dalam menilai sesuatu maklumat,” ujarnya.