Bendahari Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Hishammuddin Hussein menafikan dakwaan beliau menemui pemimpin Perikatan Nasional (PN) bagi membincangkan kemungkinan membentuk pakatan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau dan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menemui pemimpin PN bagi berunding kemungkinan menjalin kerjasama.

Mohamad sudah menafikan dakwaan itu sambil berkata, beliau tidak tahu mengenai sebarang rundingan antara pemimpin BN, PAS dan Bersatu seperti yang didakwa Anwar.

“Saya tak pernah jumpa pemimpin Pas ataupun Bersatu untuk membincangkan kerjasama selepas PRU15. Lagi satu fitnah tanpa bukti daripada Anwar (Ibrahim),” kata Hishammuddin dalam satu hantaran di laman Facebooknya.

Sementara itu, Hishammuddin turut membidas Anwar yang terus mendiamkan diri apabila diminta membuktikan kepada pihak berkuasa berhubung dakwaannya anggota tentera di Bera, Pahang yang mengundi awal untuk PRU15 dibayar RM300.

“Hari itu fitnah tentera terima RM300 untuk undi pos. Suruh bagi bukti dekat pihak berkuasa untuk siasat, terus diam. Ni lagi satu. Waspadalah.”