Rakyat digesa untuk tidak mempercayai berita palsu tentang dokumen akujanji yang sedang tular, didakwa perlu ditandatangani calon UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Sufian Hamdan tampil menjawab segala dakwaan tentang kesahihan surat tersebut dan menyifatkan individu yang menyebarkan surat palsu itu pihak yang ‘terdesak’.

“Surat ini ditularkan atas niat untuk mencipta preseptif sensasi.

“Tetapi secara logiknya, kalau nak buat kerja jahat sekalipun, janganlah sampai intipati surat itu untuk menggugurkan kes-kes pemimpin-pemimpin UMNO, memang tak logik,” katanya menerusi satu hantaran Facebook.

Tambah beliau, cara dan format penulisan surat tersebut sama sekali tidak melambangkan surat rasmi BN dan terdapat banyak kesalahan penulisan di dalamnya.

“Sekarang kan hendak PRU15, kenapa bertuliskan UMNO, bukan BN?.

“Cara pihak tersebut tulis surat pun banyak kesalahan tatabahasa. Spacing tidak teratur dan huruf besar dan kecil pun tidak ditulis sebaiknya, ” ujarnya.

Mengulas lanjut, sebagai calon Parlimen Alor Gajah, beliau tidak pernah dipinta untuk mendatangani surat perakuan seperti itu.

“Saya ada tandatangan dokumen-dokumen berkenaan jangan lompat parti, dokumen tentang kesetiaan kepada parti dan dokumen untuk memastikan kita menjadi calon yang bertanggungjawab.

“Tetapi tiada pula kena tandatangan surat yang seperti ini,” katanya.

Sehubungan itu beliau menyeru kepada semua rakyat Malaysia untuk tidak mempercayai surat palsu yang tersebar dan meminta pihak yang tidak bertanggungjawab menghentikan perbuatan itu.

“Ini semua kerja-kerja orang yang terdesak. Bukannya nak berkempen berjumpa rakyat tetapi dia hanya fikir bagaimana hendak menghasut rakyat, bagaimana nak buat cerita palsu untuk buat rakyat tidak menyokong BN.

“Jadi, jangan percaya,” katanya.