Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menafikan tuduhan Datuk Seri Azmin Ali yang mendakwa beliau mengikut telunjuk kleptokrat.

Begitu juga dengan dakwaan Lim Kit Siang kononnya Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) yang akan diadakan adalah jalan untuk membebaskan kluster mahkamah.

“Saya sudah menjelaskan pertama sewaktu saya mengumumkan pembubaran. Jadi jelas, selama ini kebasahan dari segi kerajaan ini dipersoalkan sejak Tan Sri Muhyiddin mengambil alih tampuk pimpinan negara mengatakan kerajaan tebuk atap, kerajaan pintu belakang dan pelbagai lagi.

“Sepatutnya pihak pembangkang ini berterima kasih kepada saya dan seronok dengan apa yang saya lakukan. Ini kerana ia akan mempercepatkan Pilhan Raya yang membolehkan rakyat memilih kerajaan sebenar yang mereka mahukan,” kata Ismail Sabri kepada media.

Menurut beliau, kerajaan tebuk atap dan kerajaan yang ada akan terus dipermainkan selagi mana kerajaan cuba bertahan berkaitan isu kerajaan yang tidak sah.

Selain itu, Ismail menekankan pihak pembangkang sepatutnya seronok kerana pengumuman bubar yang dilakukan kerana rakyat kini telah diberikan mandat dan juga peluang untuk memilih kerajaan seperti rakyat mahukan.

“Soal yang lain-lain itu saya sudah tekankan sewaktu saya membubarkan Parlimen dan dua hari lepas saya pun ada jelaskan tentang kekecewaan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) mengenai politik semasa walaupun keadaan agak stabil, tiba-tiba berlaku beberapa perkara yang saya sebutkan.

“Bukan sahaja kecaman tetapi kenyataan-kenyataan yang tidak bersetuju dengan parti sendiri, dengan gabungan parti, yang kata kerajaan gagal dan perlukan pilihan raya semula dan cepat adalah daripada Presiden Bersatu (Muhyiddin)

“Dia adalah parti yang sama dalam gabungan kerajaan, ada 9 Menteri daripada parti dia, tiba-tiba dia serang kerajaan, itu merupakan perkara yang amat tidak bertanggungjawab,” ujarnya.

Ismail menegaskan, tugas-tugas yang beliau lakukan pada hari ini adalah permulaan daripada tugas mereka termasuklah perpecahan yang berlaku di dalam kerajaan dan ketidaksepakatan yang diterima dari pihak mereka menjadikan Ismail tidak yakin membuat keputusan sesama Menteri Kabinet.

Dalam masa yang sama, menyentuh kata-kata Datuk Hamzah, Ismail menekankan hasil keputusan daripada parti menjadikan pengaruh kepada Menteri-Menteri Kabinet daripada Bersatu yang pastinya tidak boleh dipisahkan pengaruh tersebut.

“Parti arahkan tulis surat walaupun agak kurang wajar, mereka tulis surat kerana arahan daripada parti, sebab itu semalam ia diakui Datuk Seri Hamzah Menteri KDN. Saya tak menyalahkan dia orang kerana mengikut arahan parti

“Kalau arahan parti itu berterusan untuk mengoncang kedudukan kerajaan, maka tidak stabil lah kerajaan pada hari ini. Kalau kerajaan tak stabil, macam mana kita nak meneruskan pemulihan ekonomi dan agenda-agenda yang lebih besar

“Sebab itu bagi saya, kita serahkan mandat kepada rakyat, rakyat membuat pilihan dan kita membentuk kerajaan baharu yang lebih stabil selepas PRU15,” jelas Ismail.

Disamping itu, apabila di soal mengenai masalah dalaman UMNO sendiri punca pembubaran, Ismail menegaskan jika mengikut parti, Parlimen telah lama dibubarkan.

Hal ini kerana, sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lagi mereka telah melaungkan bubar dan bubar, begitu juga dengan setiap kali Perhimpunan Agung UMNO (PAU).

“UMNO sudah lama cakap soal pembubaran, cuma masa yang sesuai. Saya pun merancang lagi dari segi tarikh yang tepat, bila ada isu yang berkaitan, saya nampak tak boleh go on lagi, jadi saya bubarkan,” tambahnya lagi.