Ismail Sabri yakin rampas semula kerusi Tasek Gelugor
UMNO yakin kerusi Parlimen Tasek Gelugor dapat dirampas semula pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Naib Presidennya, Datuk Sri Ismail Sabri Yaacob berkata, keyakinan itu dilihat melalui semangat tinggi yang ditunjukkan oleh penduduk setempat ketika Program Pemantapan Komuniti Bandar Keluarga Malaysia di Pusat Komersial Tasek Gelugor di sini, hari ini.
“Parlimen Tasek Gelugor ini adalah kerusi kita (UMNO) tetapi ada orang rompak bawa lari. Saya nak pastikan Tasek Gelugor kembali kepada Barisan Nasional (BN) sebab itu saya datang ke sini dan melihat sambutan sebegini ramai,” katanya.
Megulas lanjut berkenaan keyakinan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa mereka akan mempertahankan kerusi Parlimen Tasek Gelugor, Ismail Sabri berkata, beliau lebih yakin berbanding PN memandangkan kerusi asal Parlimen ini milik UMNO.
“Semua orang akan masuk bila ada pertandingan dan yang masuk itu semua yakin menang tapi saya lebih yakin daripada dia (Muhyiddin) sebab kerusi ini dulu dimenangi oleh UMNO bukan oleh Bersatu tapi bekas ahli parlimen UMNO melompat ke sana.
“Jadi ini bukan kerusi Bersatu tapi kerusi UMNO. Saya harap dia faham waktu tsunami politik pun kerusi Tasek Gelugor masih dimenangi oleh Barisan Nasional dan sekarang saya percaya serta yakin kerusi ini akan dimenangi semula oleh UMNO,” katanya.
Pada PRU14, kerusi Parlimen Tasek Gelugor dimenangi Datuk Shabudin Yahaya yang ketika itu bertanding atas tiket UMNO sebelum beliau melompat parti menyertai Bersatu pada 14 Disember 2019.
Beliau yang menangi kerusi itu dengan majoriti tipis sebanyak 81 bagaimanapun, baru-baru ini mengumumkan beliau tidak lagi akan bertanding di kerusi itu pada PRU15 selepas mempertahankan kerusi tersebut selama dua penggal iaitu pada PRU13 dan PRU14.