Istilah ‘gerenti menang’ tidak boleh dipakai lagi – Ismail Sabri
Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata situasi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini adalah situasi yang berbeza sejak kekalahan PRU 14 yang memperlihatkan tiada parti yang boleh menjanjikan kemenangan besar.
“Gerenti menang tidak boleh digunakan lagi.
“Kita dah belajar dari PRU14 bahawa tidak ada parti yang boleh menjaminkan kemenangan,” katanya semasa berucap dalam program Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran Barisan Nasional, Pahang hari ini.
Tambahnya ahli BN perlu bijak menepis fitnah pembangkang terutama dakwaan bahawa kerajaan BN gagal menguruskan ekonomi dengan baik.
“Kita perlu tepis fitnah pembangkang dengan berlandaskan fakta,” katanya.
Beliau berkata, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara semasa BN memerintah pada tahun 2022 menunjukkan nilai tertinggi di ASEAN dan lebih tinggi berbanding beberapa negara maju dan serantau seperti China 0.4 peratus, Amerika Syarikat 1.6 peratus, Kesatuan Eropah 4.0 peratus, dan Singapura 4.4 peratus.
Tambahnya, nilai inflasi negara menunjukkan paling rendah di ASEAN serta jumlah pengangguran menurun 3.7 peratus.
Turut hadir Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Bendahari Agung BN Datuk Seri Hishammuddin Hussein.