Isu calon PM bertujuan melagakan saya dengan Ahmad Zahid – Ismail Sabri
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sekali lagi mengulangi pendiriannya tentang spekulasi tentang calon sebenar Perdana Menteri (PM) selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tidak harus dijadikan isu.
Calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Bera itu berkata, perkara tersebut tidak mungkin berlaku kerana keputusan dan ketetapan untuk meletakkan beliau sebagai PM telah dipersetujui di peringkat tinggi parti.
Bahkan katanya, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sendiri telah memberi jaminan bahawa tiada calon lain sebagai tukar ganti yang akan dilantik untuk jawatan itu.
Mesyuarat di peringkat akar umbi UMNO juga menyaksikan 156 daripada 190 bahagian sudah membuat usul untuk mencadangkan nama beliau.
“Isu siapa jadi PM tidak perlu timbul sebab telah dipersetujui di semua peringkat parti.
“Begitu juga dengan sokongan pemimpin dari parti komponen seperti MIC, MCA, PBRS sebulat suara pilih saya termasuklah kepimpinan tertinggi UMNO sendiri.
“Saya nampak isu ini diwujudkan untuk melagakan saya dengan Presiden (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi),” katanya dalam Bual Bicara Khas Bersama Perdana Menteri Kestabilan & Kemakmuran malam ini.
Ismail berkata, semua keputusan (memilih beliau sebagai Perdana Menteri) selagi tidak ‘diundur’ akan menjadi keputusan yang mesti dipatuhi.
Sebelum ini, timbul pertikaian mengenai calon PM mewakili BN yang mendakwa kononnya bukan Ismail Sabri yang akan diangkat ke jawatan itu sebaliknya akan diisi Ahmad Zahid.
Mengulas mengenai jajaran baharu BN dengan Pakatan Harapan sekiranya gagal membentuk kerajaan dengan majoriti sendiri, Ismail berkata perkara itu tidak mungkin berlaku kerana bercanggah dengan keputusan yang dicapai dalam parti.
“Dalam Perhimpunan Agung UMNO, dalam MT, keputusan telah dibuat bahawa tiada Anwar, tiada DAP. Keputusan itu adalah yang tertinggi selagi tidak ada keputusan lebih tinggi dari itu, ia akan kekal.
“Saya percaya tiada kepimpinan dalam UMNO, walau setinggi mana sekali pun yang boleh mengubah keputusan PAU dan MT secara bersendirian, tanpa persetujuan parti,” katanya.