Jangan main kias-kias, tuduhan biar jelas – Khairy
Pakatan Harapan (PH) dicabar membuat tuduhan jelas dan tidak hanya berkias untuk mengaitkan calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan salah laku rasuah tanpa mengemukakan bukti kukuh.
Calon BN Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menegaskan, kiasan itu tidak lebih sekadar mengitar semula isu lama yang sudah dibuktikan tiada pendakwaan dan pelaku sebenar sudah didakwa di mahkamah.
“Dia ungkit balik isu-isu lama, dia kata ada skandal ini dan sebagainya, saya nak jawab malam ini, jangan cakap selindunglah, kalau nak buat tuduhan, buat tuduhan secara jelas, saya bawa mahkamah, saya saman sekarang.
“Jangan main kias-kiaslah, jangan hantar kamu punya cybertrooper buat tuduhan kias-kias, letak nama, letak kad pengenalan, saya nak bawa ke mahkamah esok kalau buat tuduhan kepada saya,” katanya berucap pada Ceramah Kata Janji KJ di Paya Jaras Dalam.
Khairy juga mempersoalkan Kerajaan PH yang gagal membuat sebarang siasatan dan pendakwaan terhadapnya, namun kini cuba memainkan semula isu lama.
“Tapi 22 bulan hang jadi kerajaan, kenapa tak siasat? Kenapa tak buat apa-apa? Perdana Menteri siapa?
“Budak paling dibenci oleh Tun Dr Mahathir Mohamad siapa? Saya. Sejak zaman Pak Lah budak yang paling dibenci oleh Dr Mahathir ialah saya.
“Sudah dapat kuasa mutlak 22 bulan, pemimpin macam Datuk Zahid, Datuk Najib sudah dituduh di mahkamah, satu kertas siasatan tidak dibuka terhadap saya kerana tiada kes terhadap saya,” katanya.
Penyandang Parlimen Rembau itu sudah berkali-kali memberi penjelasan bahawa kes itu tidak melibatkan beliau dan sehingga ke hari ini, tiada satu pun kertas siasatan dibuka ke atasnya.
“Tolonglah jangan kitar semula cerita-certia ini, dia sudah ada 22 bulan tapi tindakan terhadap saya satu pun bukti tidak ada, satu pun kertas siasatan tidak berani dibuka sebab memang tidak ada bukti terhadap saya.
“Saya telah jalankan tugas saya dengan amanah, dengan baik sewaktu saya Menteri Belia dan Sukan, saya angkat martabat sukan negara.
“Ada yang cakap cuba siasat tetapi apabila pegawai (polis) secara profesional pun kata memang tidak ada kes, maka tidak dapat dibuat apa-apa terhadap saya,” katanya lagi.