Jangan sabotaj parti jika tidak dicalonkan
Perbuatan sabotaj perlu dihentikan bagi memastikan Barisan Nasional (BN) mencatat kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, semua wakil rakyat termasuk Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta Exco Kerajaan Negeri perlu bekerja keras bagi memastikan BN membentuk kerajaan yang stabil.
“Jangan ada unsur-unsur sabotaj kepada calon yang bertanding kerana sabotaj akan pasti membawa kepada kekalahan dan yang akan rugi adalah parti.
“Jangan kerana kita tidak dapat bertanding, kita sabotaj pula kawan yang bertanding. Yang perlu dilawan adalah pihak lawan, bukannya parti sendiri.
“Saya ucapkan terima kasih kepada mereka yang bekerja keras untuk kemenangan parti. Jika pernah kalah sebelum ini, jangan bersedih terlalu lama.
“Pastikan buat yang terbaik untuk memastikan kemenangan BN,” katanya ketika berucap pada Program Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran di Dataran Seri Serdang, Bandar Baharu, Kedah hari ini.
Tambah beliau, wakil rakyat perlu berjiwa besar dan memberi khidmat yang terbaik kepada rakyat serta tanggungjawab yang dipegang haruslah dilaksanakan dengan sebaiknya.
“Barisan Nasional dalam apa jua keadaan bersedia untuk berdepan dengan apa risiko dan cabaran demi masa hadapan negara,” ujarnya.