Kempen Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) di seluruh negara akan diserikan dengan lagu ‘Jangan Salah Pilih Lagi’.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan pemilihan lagu tersebut pada sesi Perjumpaan Bersama Jentera BN Hang Tuah Jaya (HTJ) di Pejabat Umno HTJ, Bukit Katil semalam.

“Saya sudah dengar lagu ini di Masjid Tanah tadi dan dengan ini mengumumkan ia adalah lagu rasmi yang akan digunakan di seluruh negara,” katanya yang turut menyanyikan lagu berkenaan bersama hadirin.

Difahamkan, lagu tersebut merupakan hasil ciptaan penyanyi terkenal pada era 80-an, Datuk Syed Sobrie Syed Kechik.

Terdahulu, Ahmad Zahid tiba di pekarangan Pejabat Bangunan UMNO Bukit Katil pada kira-kira pukul 5.15 petang dengan diiringi Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan calon Parlimen HTJ, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali.

Lirik lagu tersebut jika diamati antara lain mengingatkan pengundi supaya bijak, sabar dan berhati-hati dalam membuat pilihan pada hari pengundian, 19 November ini.

Pengundi juga diseru kembali memilih BN demi memastikan kestabilan dan kemakmuran negara.