Jangan sesekali lupa kegagalan PH – Ahmad Shabery
Rakyat di negara ini diingatkan supaya tidak sekali lagi tertipu dengan janji-janji manis pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang sebelum ini terbukti gagal mentadbir negara apabila diberikan peluang.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dalam catatan ringkasnya menerusi Facebook berkata, lebih malang lagi apabila sebahagian besar kegagalan PH tersebut hanya ‘ditutupi’ dengan permohonan maaf.
“Sekarang makin senang, lepas beberapa bulan kita ada sesi mohon maaf. Kata ustaz, buat dulu, jangan mintak izin, lepas tu pakat-pakat mohon maaf.
“Tetiba rindu pulak kepada penulis manifesto bukan kitab suci,” katanya pada dua gambar petikan berita bertajuk ‘Pengerusi PTPTN mohon maaf gagal tunai janji’ dan Anwar mohon maaf PH gagal tunai manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Beliau berkata, kejayaan kerajaan PH mentadbir negara buat kali pertama pada PRU yang lalu tidak mustahil akan berulang kerana dibarisi pemimpin yang tidak berpengalaman dan hanya tahu menabur janji.
Bahkan katanya, semua rakyat termasuk pemimpin daripada parti itu sendiri mengakui kegagalan kerajaan PH pada pentadbiran yang lalu.
Ahad lalu, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui kegagalan pentadbiran 22 bulan kerajaan PH dengan menyalahkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kerana tidak membawa pembaharuan.
“Semasa PH memerintah dahulu, siapa ketua? Siapa Perdana Menteri kalau bukan Tun Mahathir. Tanpa pentadbiran dan pemerintahan yang baik, negara tidak boleh bangkit,” kata Anwar.
Perkara yang sama turut diakui oleh Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar yang mengakui rakyat dan beliau sendiri masih trauma tentang apa yang berlaku semasa PH menjadi kerajaan.
Timbalan Pengerusi DAP Sarawak, David Wong turut mengakui prestasi buruk pentadbiran PH sebagai salah satu punca kekalahan besar beliau pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang lalu.