Janji politik muda tapi amal politik lama punca anak muda jauhkan dari politik – Puad
Menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), dilaporkan kira-kira 1.14 juta belia bakal menggunakan mandat buat pertama kali sebagai pengundi bagi memilih kerajaan yang menerajui negara akan datang.
Namun disebalik pertambahan jumlah tersebut, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi menyuarakan kebimbangan beliau berkenaan masa depan negara dan kalangan pengundi muda.
Ia ekoran terdapat segelintir ahli politik yang memanipulasi pengundi-pengundi muda tersebut dengan menggunakan politik populis untuk kepentingan diri.
“Tentang perubahan, kita kali ini menerima kehadiran pengundi muda yang bertambah kerana kita membenarkan umur 18 tahun untuk menjadi pengundi.
“Maka parti Muda di bawah Syed SAddiq mengambil kesempatan menubuhkan satu perti yang namanya Muda kononnya untuk orang Muda terutama di kalangan pengundi muda semakin ramai.
“Tetapi ini juga mengecewakan, Muda tetapi apabila tidak berakhlak, berpemikiran secara dewasa, tidak ada makna.
“Muda, tetapi masih mengamalkan perangai lama itu bukan muda namanya. Sebab itu saya kata, kita boleh beretorik membawa suara orang muda sehingga parti pun nama Muda, tetapi hanya retorik,” katanya dalam rancangan Bicara Nasional malam tadi.
Tambah Puad, perubahan yang sepatutnya berlaku dalam corak politik negara akhirnya boleh terbantut dengan adanya ahli politik yang kononnya mahu melakukan perubahan tetapi masih mengamalkan politik lama.
“Saya bimbang, dengan orang mahu menjanjikan politik muda, politik baharu tetapi berperangai lama akan menyebabkan anak muda menjauh daripada politik hati nurani ini.
“Atau pun dengan kata lain mereka tidak ada hati nurani untuk bersama dalam politik untuk melakukan perubahan bila melihat yang muda pun sama juga,” tambahnya.