Jawab isu: PH sibuk bina legasi menjadi punca negara celaru
Pimpinan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan itu semata-mata kerana ingin membina legasi serta memanipulasi agenda pembangunan negara.
Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Dr Hasan Mad berkata tindakan dikalangan pemimpin bangsa Melayu sendiri yang ingin menjatuhkan pemimpin lain demi kepentingan sendiri adalah kejam.
Mengulas lanjut, Hasan menyifatkan perbuatan pemimpin PH pada ketika itu membunuh dasar yang pragmatik bagi digantikan dengan dasar gubalannya sendiri sebagai tidak rasional dan berpotensi menjatuhkan ekonomi yang sedang membangun ketika itu.
“Tidak kurang jahatnya ialah dikalangan pemimpin bangsa Melayu sendiri yang tergamak membunuh Dasar Ekonomi baru 1970 (DEB) itu bagi digantikan dengan dasar gubalannya sendiri.
“Niat beliau hanya satu, iaitu membina legasi kepimpinannya, sekalipun dasarnya itu begitu ‘flip-flop’ (tidak tetap pendirian) sifatnya, kerana perlaksanaan dasar ciptaannya sentiasa berubah-ubah mengikut selera semasa beliau,” katanya kepada BN Comms hari ini.
Tambah Hasan, zaman Tun Razak yang menggubal DEB, diperakui banyak pihak sebagai dasar yang cukup pragmatik dan sesuai dengan pembangunan negara pada ketika itu.
“Bila Tun Razak menyedari usaha segelintir jentera pentadbiran kerajaan ketika itu cuba bangunkan negara bermodelkan ekonomi pasaran terbuka, dengan pantas beliau mendapatkan khidmat perunding terkemuka membantunya menggubal satu dasar nasional yang inklusif.
“Dasar DEB yang terbukti kejayaannya dalam masa yang amat singkat itu pada mulanya mengutamakan agenda pembasmian kemiskinan dan penguncupan jurang ekonomi antara kaum dan wilayah,” katanya kepada BN Comms hari ini.
Namun begitu, banyak pihak yang mencemburuinya dan terus-menerus mengkritik dasar itu sehinggakan ada yang menggelarnya sebagai Dasar Bumiputera.
Mengulas lanjut bila pemimpin yang sama kembali semula memerintah, mengetuai kerajaan PH pada Mei 2018 dan sekali lagi ingin mengembalikan negara ke kancah ekonomi pasaran terbuka.
“Blok kapitalis yang sebelum ini bersekutu dengannya, bersama menterjemahkan dasar beliau yang utamakan pembangunan fizikal dan menafikan perlunya pembangunan insan disepadukan dengan pembangunan fizikal.
“Itu sebabnya di era pemerintahan 22 bulan Kerajaan PH pimpinan tokoh berkenaan, segala bantuan ikhsan kepada golongan B40 terutamanya, diremehkan.
Beliau turut menyatakan pembangunan projek-projek berskala mega yang tidak memenuhi selera blok kapitalis sekutunya ditamatkan, atau dirombak jika sekiranya ia dapat memanfaatkan sekutunya.
Bagaimanapun, hayat pemimpin tersebut sebagai Perdana Menteri adalah singkat kerana majoriti rakyat bangkit menolak dasar pimpinannya yang tidak masuk akal.
“Namun, dalam kepayahan itu kerajaan Barisan Nasional (BN) dapat mengembalikan keyakinan rakyat serta keyakinan para pelabur untuk kembali membina semula kemakmuran negara ini,” katanya.