Jawab isu: PH terlalu takut hingga nasib kakitangan JASA diperkotak-katikkan
Pembubaran Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) yang berkuatkuasa Januari 2019 telah menyebabkan 782 orang pegawai kontrak menjadi penganggur.
Menurut Zainal Fitri bekas kakitangan penerangan JASA, beliau yang sudah berkhidmat lebih 10 tahun juga terkesan dibebani komitmen hutang akibat pembubaran JASA.
“Saya dibuang kerja umur ketika itu 45 tahun, jadi sukar untuk kami mencari sumber pendapatan yang lain kerana tiada peluang pekerjaan ketika itu.
“Kehidupan kami sangat sukar sehingga ada yang diisytiharkan muflis, gila, tertekan kerana tiada pendapatan,” katanya kepada BNCOMMS.
Sedangkan JASA bukanlah jabatan yang setahun jagung dalam mengendalikan tugas mereka, usianya bermula pada 1960 ketika zaman Tun Abdul Razak Hussein lagi.
Hanya disebabkan Pakatan Harapan menuduh JASA sebagai propaganda politik, menyebabkan kesemua mereka mengalami nasib malang.
“Saya sangat kesal apabila JASA disalah anggap sebagai agen propaganda UMNO,” katanya.
Pelbagai bentuk rayuan telah dibuat bagi mengekalkan status kerja dan memperjuang JASA tetapi ditolak mentah-mentah oleh kerajaan 22 bulan yang ketika itu diterajui oleh Pakatan Harapan.
Muhammad Yazid yang juga bekas Pembantu Penolong Pengarah JASA Negeri Johor turut kesal dengan tindakan PH sehingga mengubah kehidupannya.
“Selepas pembubaran JASA, saya terpaksa duduk dalam hutan bagi memikirkan hutang yang bertimbun.
“Saya sampai ke hari ini masih diburu oleh bank-bank dan juga mana-mana yang saya masih berhutang, ada yang masih tertunggak dan banyak kali naik mahkamah.
“Saya ada ijazah tapi disebabkan banyak perkara ini saya hanya bekerja di syarikat bas persiaran sahaja yang gajinya RM 1,000 sebulan,” ujarnya.
Zaman Tun Abdul Razak Hussein, JASA lebih menekankan ke arah pembangunan, Zaman Tun Adullah Badawi pula, ia menekankan kepada masyarakat madani dan paling lama sekali di bawah Tun Mahathir Mohamad, ia adalah Wawasan 2020 dan terakhir sebelum JASA ditutup di bawah Datuk Seri Najib Razak (1Malaysia).
Namun, tindakan yang dibuat oleh kerajaan PH itu dilihat tidak mempunyai asas-asas kukuh pentadbiran malah lebih menjurus kepada keputusan politik semata-mata.