Ismail Sabri Yaakob menolak cadangan Anwar Ibrahim supaya calon perdana menteri Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) berdebat secara terbuka, sempena pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Naib Presiden UMNO itu berkata, debat bukan budaya kita dan perbahasan yang disarankan tidak akan mendatangkan sebarang hasil.

“Jika beri peluang Anwar berdebat, dia hanya akan sebut manifestonya sahaja. Bulan dan bintang pun dia akan sebut, jadi tidak perlu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Taklimat Khas Perdana Menteri Sempena PRU-15 dan Monsun Laut 2022 di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.

Terdahulu, Anwar berkata, perbahasan itu perlu memberi tumpuan kepada soal dasar, perancangan bukan berbentuk tuduhan serta dakwaan dan menerusi langkah itu rakyat boleh menilai tentang soal hala tuju dan masa depan negara.

Mengulas lanjut, Ismail berkata kerajaan dibentuk berdasarkan kepercayaan yang diberikan rakyat.

“Saya rasa tak perlu ada debat, kita sibuk di kawasan kita, kawasan masing-masing berkempen,” katanya.