Kalau orang baik tak masuk politik, politik dikuasai orang jahat – Isham Jalil
Jika orang baik tak masuk politik, orang jahat yang menentukan dasar maka rosaklah kehidupan rakyat selepas itu.
Demikian peringatan yang dikongsikan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil dalam satu program bual bicara baru-baru ini.
“Berkenaan rasuah, ia bukanlah salah parti tetapi salah individu. Kalau kita lihat rasuah ini apabila seseorang yang baru mendapat kuasa.
“Sebagai contoh Pakatan Harapan (PH) yang berkuasa selama 22 bulan, Lim Guan Eng pun ada dua kes rasuah.
“Bila Datuk Seri Anwar Ibrahim kata dia ‘fight’ rasuah, kawan dia ada kes rasuah kenapa dia tak sebut,” kata Isham dalam temu bual tersebut.
Jelas beliau, pihak lawan telah melabelkan UMNO dengan pelbagai persepsi negatif berkaitan rasuah sehingga terpasak dalam fikiran rakyat rasuah adalah UMNO walaupun hakikatnya mereka sendiri banyak kes rasuah.
Jika sebelum ini pimpinan tertinggi UMNO terpaksa melalui proses pendakwaan terpilih dan ditentukan oleh Hakim, namun kes rasuah melibat mereka telah digugurkan.
“15 kes mereka telah digugurkan oleh Peguam Negara yang dilantik mereka sedangkan kes masih lagi sedang berjalan di mahkamah.
“Saya ingat nanti ada kluster mahkamah baru iaitu kluster kepada 15 kes yang telah digugurkan sebelum ini.
Sehubungan itu, Isham menegaskan UMNO bukanlah parti yang menyimpan dendam, namun untuk 15 kes yang digugurkan sebelum ini perlulah diadakan perbicaraan semula.
Menafikan cubaan untuk campur tangan, Isham menegaskan ia demi mendapatkan kepastian agar tidak ada sebarang campur tangan dalam tindakan agensi-agensi dalam kes berkenaan.
“Politik Malaysia ini bermula dengan pendanaan politik, kita mahukan orang yang membuat dasar ini bukan sahaja kompeten tetapi orang yang baik.
“Sebab itu saya cakap, orang baik kena masuk politik. Kalau tidak, politik akan diketuai orang politik. Saya masuk politik kerana saya nak tentukan dasar yang menentukan untung nasib rakyat.
“Sekiranya orang jahat yang menentukan dasar, akan memusnahkan kehidupan semua rakyat selama ini,” tambahnya lagi.