‘Kalau tidak mahu mati, jangan try kali kedua’ – Johari
Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani mengingatkan agar pengundi tidak melakukan kesilapan buat kali kedua dalam memilih wakil rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ia ekoran janji manis Pakatan Harapan (PH) terhadap pengundi, sekaligus ramai yang terpedaya sehingga menyebabkan kerajaan BN tumbang setelah 62 tahun memerintah.
Bagaimanapun, Johari berkata, beliau tidak menyalahkan pengundi yang ingin beralih kepada tawaran lebih menarik, namun kali ini dingatkan supaya lebih berwaspada dan menilai setiap janji yang diberi oleh mana-mana calon.
“Kali ini saya janji saya akan pastikan perkara ini tidak akan berulang lagi. Shah Alam pun sudah lari, sekarang mahu datang ke tempat ini, satu kali try okay, dua kali try, mati.
“Kalau tidak mahu mati, jangan try kali kedua” katanya di Dewan Orang Ramai Pangsapuri Pandanmas 2.
Johari dalam masa yang sama turut menjawab kenyataan calon PH, Khalid Abdul Samad yang penduduk di situ beruntung jika mengundinya kerana terdapat dua pemimpin yang boleh bekerja untuk rakyat.
“Macam mana mahu jadi ahli parlimen tetapi tidak mahu jaga rakyat? Jangan sampai ditipu dua kali. Kalau proses pemilihan pemimpin ini, ia memerlukan peranan daripada pengundi untuk menilai pemimpin.
“Tetapi sebelum menjalankan tanggungjawab, fikir dulu baru undi. Kalau tidak, undi dulu baru fikir, salah pilih kena tunggu lima tahun. Itu yang XL tukar jadi M,” ujarnya lagi.
Khalid sebelum ini berkata, pengundi Titiwangsa beruntung jika memilihnya sebagai wakil rakyat kerana terdapat dua individu yang akan bekerja untuk rakyat.
Ia termasuklah Johari yang dilihat suka membantu rakyat meskipun kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).