Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari membidas kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan janji populis yang di lontarkan kononnya gaji dan elaun beliau akan dipotong jika dilantik menjadi Perdana Menteri.

Menurut beliau, jika Anwar ingin menjadi PM, perkara utama yang perlu diambil tahu adalah bagaimana cara untuk meningkatkan ekonomi Malaysia demi menjadikan negara ini lebih makmur termasuk dengan rakyatnya.

“Dia sepatutnya menjelaskan langkah-langkah yang akan dibuat jika menjadi kerajaan bagi mengukuhkan mata wang ringgit bagi menghadapi krisis ekonomi pada tahun hadapan.

“Ini yang sebenarnya rakyat ingin tahu. Rakyat sekarang ramai yang bijak-bijak dan tidak lagi termakan hasutan dari Pakatan Harapan seperti apa yang berlaku pada PRU14 yang lepas,” kata Azhari dalam satu hantaran di Facebooknya.

Tegas beliau rakyat sehingga kini masih teringat janji-janji palsu yang dilaungkan oleh Pakatan Harapan (PH) sekaligus menjadikan rakyat sudah muak dan ‘menghukum’ PH pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Jika dilihat dari sudut beberapa kempen Pilihanraya PH lebih banyak menghasut dan mengkritik serta tidak ada membawa Kerajaan Malaysia ke arah yang lebih baik.

“Berbeza dengan kempen pilihanraya dari Barisan Nasional. Barisan Nasional mengutamakan slogan Kestabilan dan Kemakmuran pada PRU15 ini. Ianya bermaksud ingin memastikan Malaysia stabil dalam segi politik dan seterusnya memberi kestabilan kepada ekonomi dan rakyat akan mendapat kemakmuran dengan izin-Nya.

“Rakyat perlu tahu, jika hanya janji memotong gaji Perdana Menteri pun ianya tidak akan membawa kesan kepada ekonomi negara dan rakyat tetap hidup susah,” katanya

Malah ujarnya Rakyat Malaysia perlukan PM yang berpegang kepada visi dan misi serta berpengalaman dalam memacukan ekonomi negara.

Justeru, Azhari mengharapkan rakyat Malaysia bijak dalam memilih serta membuat undi yang tidak mengikut emosi di samping mengundi BN demi kestabilan dan kemakmuran kepada negara.