Kenapa Perlu Undi Barisan Nasional

Kerajaan yang terlalu kuat juga mudah menjadi korup dan rasuah. Namun kempen PH tidak habis-habis mengatakan bahawa pemimpin-pemimpin BN yang korup dan rasuah. Selepas menjadi kerajaan persekutuan, melalui agensi-agensi penguatkuasaan, Kerajaan PH telah melontar beratus-ratus pertuduhan rasuah kepada pemimpin-pemimpin BN termasuk saya sendiri untuk menunjukkan BN adalah parti yang korup.
Namun demikan, sebaliknya pemimpin-pemimpin PH yang dikaitkan dengan rasuah telah dilepaskan begitu sahaja. Mereka-mereka ini tiba-tiba menjadi suci selepas menang pilihanraya atau melompat parti.
Di Selangor ini, banyak kes-kes rasuah yang melibatkan ahli-ahli politik PH dilaporkan sejak mereka memerintah daripada tahun 2008. Kita tidak boleh benarkan mereka-mereka ini terlepas begitu sahaja sedangkan pemimpin-pemimpin BN difitnah, dituduh, direman dan ditahan dengan semberono. Jika anda adalah penyokong sistem demokrasi yang adil, BN perlu diberi peluang kali ini.

Sebelum ini pemimpin-pemimpin PH telah banyak berjanji untuk menyelesaikan masalah rakyat. Banyak masalah-masalah setempat seperti yang tersebut di atas masih berleluasa seperti yang diakui sendiri oleh calon PH dalam kempen pilihanraya kecil ini baru-baru ini. Walaupun beliau berjanji untuk menyelesaikan semua masalah-masalah ini sehari selepas menang pilihanraya, saya yakin ini adalah satu lagi janji kosong PH selepas 11 tahun mereka memerintah di Selangor.
Mereka telah berjanji untuk menurunkan harga minyak, menghapuskan hutang PTPTN, menurunkan harga barang dengan SST, menghapuskan tol, menghapuskan lantikan politik dalam syarikat dan agensi berkenaan kerajaan, dan membawa lantikan-lantikan penting kerajaan seperti Pengerusi SPR, Pesuruhjaya SPRM, dan Peguam Negara ke Parlimen untuk pertimbangan.
Namun setelah mereka menang pilihanraya sebaliknya telah berlaku: harga minyak telah naik, hutang PTPTN dipaksa bayar, harga barang semakin teruk naik dengan SST, caj kesesakan tol akan diperkenalkan, saudara mara dilantik dalam syarikat dan agensi kerajaan, dan lantikan Pengerusi SPR, SPRM dan Peguam Negara dilakukan tanpa semak-imbang Parlimen seperti dijanji. Telah terbukti bahawa mereka ini selalu mungkir janji dan menipu rakyat.
Sekiranya PH menang lagi kali ini, maka kita memberikan isyarat kepada mereka bahawa mereka masih boleh menang walaupun mereka terus mungkir janji dan menipu kita. Kita tidak boleh benarkan perkara ini terus berlaku.

Kita mesti memberikan insyarat kepada mereka bahawa mereka tidak boleh terus mungkir janji, menipu namun terlepas begitu sahaja. Mereka perlu bertanggungjawab ke atas janji-janji mereka kepada rakyat.
Inilah politik baru yang dibawa BN kini untuk masa hadapan: politik positif yang memperjuangkan isu-isu rakyat dan bukan politik serangan peribadi dan politik fitnah seperti yang dibawa oleh PH sejak berpuluh-puluh tahun. Saya harap tuan-tuan dan puan-puan akan keluar beramai-ramai untuk mengundi BN pada hari esok, Sabtu 2hb Mac 2019 ini.
Sekiranya tuan-tuan dan puan-puan keluar mengundi BN kali ini dan dengan itu calon BN menang, maka kita akan bergerak setapak lagi ke hadapan untuk menyemak-imbang kerajaan supaya mereka mengambil endah kepada masalah rakyat dan tidak terlepas apabila mungkir janji.
Dan sekiranya BN menang esok, kita akan dapat lebih mandat daripada rakyat untuk menjadi pembangkang yang kuat yang akan menyuarakan isu-isu rakyat dengan lantang supaya kehidupan rakyat menjadi lebih baik.