Kerjasama politik antara Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kali ini tidak mungkin berjaya direalisasikan seperti yang berlaku di PRU14 pada 2018.

Menurut Presiden Laskar Siber Malaysia Datuk Lokman Adam, kerjasama yang sedang hangat diperkatakan tersebut tidak mungkin akan berlaku kerana menurutnya Anwar kini sudah sedar akan kesilapan beliau menerima kehadiran Mahathir pada PRU lepas.

“Akhirnya beliau (Anwar) sekali lagi dianiaya oleh Tun Mahathir bila mana Mahathir…bagi mengelakkan peralihan kuasa – mula-mula dia (Mahathir) minta untuk sementara tunggu Anwar dibebaskan, kemudian lagi satu tahun, kemudian jadi dua tahun dan masuk tiga tahun,” katanya dalam sesi temubual dalam Bicara Nasional.

Tambah Lokman, beliau juga yakin Mahathir merupakan individu yang bertanggungjawab merancang Langkah Sheraton pada Febuari 2020 dengan menghantar Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk keluar daripada PH untuk menyertai kerjasama dengan UMNO dan PAS selepas mendapati Anwar sudah menampakkan gerakan melawan Mahathir.

Selain itu tambah Lokman, tujuan Mahathir juga jelas untuk mengekalkan kuasanya, beliau perlu mendapatkan 122 kerusi yang ditandingi oleh UMNO ketika itu.

“Tetapi Allah Taala maha berkuasa langkah yang telah dibuat telah menyebabkan tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan, dan kita lihat Muhyiddin sudah selesa dengan kuasa yang sedia ada, sudah pastilah dia tidak mahu menyerahkan kembali kepada Tun Dr Mahathir.

“Jadi, saya berpandangan Anwar tidaklah sebodoh itu untuk sekali lagi ditipu oleh Tun Dr Mahathir.

“Kalau dulu tujuan Mahathir menghantar Muhyiddin untuk bekerjasama dengan kita dengan harapan kalaulah dengan 122 kerusi yang ditandingi oleh UMNO pada tahun 2018, kalau sekali lagi UMNO bertanding di semua kerusi, maka peluang UMNO ketika kita dalam keadaan difitnah, dicemuh dan wujud banyak bersangka buruk terhadap Barisan Nasional dan UMNO kita masih lagi boleh memenangi, UMNO saja 54 kerusi maknanya kita dapat 48 peratus lebih dari jumlah kerusi yang ditandingi,” tambahnya lagi.

Terdahulu, Mahathir berkata beliau sedia berbincang dengan Anwar berkenaan kerjasama pada PRU15 kali ini.

Malah, veteran politik tersebut turut menegaskan beliau tidak kisah jika ada yang melabelnya tidak malu kerana sedia bertemu dengan Anwar.

Sebelum ini, Mahathir juga berkata partinya, Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) sedia bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin oleh Muhyiddin bagi menghadapi PRU15.