Kestabilan bermula daripada kerajaan ada keabsahan
Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mampu menghentikan ketidakstabilan dan kecelaruan politik negara yang bermula sejak Mei 2018 selepas Pakatan Harapan (PH) mendapat mandat untuk menerajui Putrajaya.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, kesan buruk ekoran kecelaruan politik negara selama lima tahun ini perlu dihentikan melalui PRU15 dengan memberi mandat baharu kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang stabil, memandangkan kerajaan sebelum ini terlahir daripada percaturan ahli-ahli Parlimen.
“2023 ini dianggap sebagai tahun permulaan untuk kecelaruan ekonomi di seluruh dunia.
“Ramai penganalisa mengatakan 2023 bermulanya fasa kemelesetan ekonomi bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh dunia dan kita perlu wujudkan sebuah kerajaan seawal mungkin untuk kita memastikan kerajaan ini bersedia dengan perancangan awalnya untuk berdepan dengan cabaran 2023 ini,” katanya dalam Bicara Nasional malam tadi.
Justeru, PRU15 yang dibuat awal berbanding tempoh tamat penggal yang sepatutnya pada Julai tahun hadapan, mampu memberi kelebihan kepada kerajaan yang bakal dibentuk untuk melunaskan keresahan orang ramai, rakyat Malaysia keseluruhannya yang kini berada dalam kebimbangan berkenaan keadaan ekonomi yang tidak stabil.
“Saya melihat, pada PRU15 kali ini orang ramai lebih orang berminat bercerita tentang ekonomi. Itu keresahan dan kecemasan dalam hati masing-masing. Apakah esok lebih baik untuk anak dan cucu-cucu saya? Apakah esok saya ada pekerjaan lagi? Apakah perniagaan saya hari ini akan bertambah baik pada esok atau akan bankrap?
“Perkara ini bukan terkesan pada orang Melayu sahaja, orang Cina, orang India, orang Kadazan, orang bajau, orang Iban, orang Dayak, semua merasakan kesan ekonomi ini,” tambahnya.
Dalam pada itu, Rahman yang juga bekas Ahli Parlimen Kota Belud sebelum ini berkata, rekod pencapaian Barisan Nasional (BN) mentadbir negara selama 60 tahun mampu memberi keyakinan kepada pengundi untuk memilih gabungan ini untuk menjadikan Malaysia kepada landasan kestabilan yang sepatutnya.
“Kita kena pilih sebuah parti yang betul-betul mahir dalam mengurus ekonomi. Selama 60 tahun kita menjaga negara ini daripada sebuah negara pertanian, negara yang mundur, negara yang serba kekurangan kepada sebuah negara yang begitu dihormati oleh dunia. Saya kira pda PRU15 kali ini rakyat akan memilih sebuah parti yang mereka fikir mereka yakin dapat mengurus ekonomi,” tambahnya.
Semalam, Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada majlis Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran di Bagan Datuk berkata, tujuan mewujudkan solidariti tersebut adalah untuk kesungguhan dalam menzahirkan kestabilan dengan tujuan demi kemakmuran negara.
Beliau yang juga Presiden UMNO menekankan bahawa kemakmuran harus dirasai oleh seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira ras dan kaum, tanpa mengira budaya, agama dan bahasa.