Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO memutuskan untuk menjadikan ‘Kestabilan dan Kemakmuran’ sebagai tema utama dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Kestabilan adalah ramuan utama dan paling penting dalam menjamin kemakmuran serta kelancaran sesebuah pentadbiran negara.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, masih segar dalam ingatan bagaimana Johor tidak berupaya untuk mentadbir dengan baik kerana sentiasa tertakluk pada belas kasihan politik kepartian.

“Meskipun pada waktu itu kita telah melaksanakan tiga pakej rangsangan ekonomi bernilai lebih daripada RM400 juta dan membuka semula sempadan Johor-Singapura secara berkala, pemulihan pasca COVID-19 memerlukan mandat yang stabil serta pentadbiran yang kukuh,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau menambah, usaha untuk memulihkan sosioekonomi rakyat Johor perlu didasari kepercayaan yang utuh rakyat kepada kerajaan.

Namun, mandat yang diterima pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor membolehkan kerajaan negeri melaksanakan pelbagai inisiatif pro-rakyat dengan lebih responsif, yakin dan konsisten.

“Malaysia harus menyedari bahawa, dalam mendepani cabaran masa hadapan, negara memerlukan kestabilan. Maka, kepada rakyatlah mandat itu dikembalikan.

“Alhamdulillah, UMNO dan Barisan Nasional (BN) berjaya memenangi kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor melebihi dua pertiga majoriti.

“Ia merupakan pencapaian yang bermakna bukan sahaja kepada parti tetapi rakyat Johor dan negeri amnya,” tambahnya.

Di samping itu, beliau berkata, pihaknya akan memberi komitmen terbaik untuk bantu kemenangan kerusi-kerusi Parlimen yang ditandingi BN di negeri itu pada PRU-15.

Ini kerana, Johor perlukan perwakilan yang lebih besar di Persekutuan sekaligus membantu memacu kemakmuran negeri selari dengan Ikhtiar BN Johor dan agenda-agenda pembangunan negeri yang lain.

“Saya percaya, kita akan bersama-sama lakukannya sekali lagi. I believe, together we will do it again.”