‘Kita akan mula lihat hipokrasi PH hari ini’ – Asyraf Wajdi
Bermula hari ini kita akan mula melihat bagaimana hipokrasi Pakatan Harapan (PH) bermula, kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki susulan kes pecah amanah melibatkan bekas Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq.
Menerusi hantaran Facebooknya, beliau menceritakan kronologi kes yang melibatkan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu.
“Syed Saddiq mendakwa RM250 ribu dicuri atau hilang daripada peti besi rumahnya. Tetapi tiada tanda bilik beliau diceroboh dan peti besi juga tidak diumpil.
“Dia (Syed Saddiq) mendakwa RM250 ribu itu adalah wang peribadi keluarganya namun, laporan forensik pada telefon bimbit kawan beliau menunjukkan duit itu sebenarnya adalah dana politik PPBM,” tulisnya.
Tambah Asyraf, Syed Saddiq cuba meminta pandangan ahli kumpulan untuk mencari alasan yang boleh diterima masyarakat dalam kes itu menerusi perbualan WhatsApp Group.
“Syed Saddiq juga telah mengarahkan RM1 juta dibawa keluar daripada akaun Armada dan ada saksi mengatakan Syed Saddiq mahu agar wang tersebut diguna untuk mengukuhkan kedudukannya dalam PPBM selepas pertukaran kerajaan,” katanya lagi.
“Wang milik Armada dalam akaun syarikat ABBE juga telah dikeluarkan sebanyak RM120 ribu. Daripada jumlah itu, RM100 ribu telah dimasukkan ke dalam akaun ASB peribadi milik Syed Saddiq,” ujarnya.
Asyraf turut mendedahkan Syed Saddiq sebelum ini pernah meminta penangguhan kes dan ini membuktikan bukan Datuk Seri Najib Razak sahaja yang meminta penangguhan kes bagi mendapatkan ruang keadilan yang lebih baik.
“Syed Saddiq pernah meminta penangguhan kes. Kes beliau ditangguh selama 3 bulan antara Ogos – November 2021 selepas YB Muar itu memohon untuk memindahkan kes beliau ke Mahkamah Tinggi KL.
“Ini menafikan kononnya hanya Datuk Seri Najib sahaja pernah meminta penangguhan kes bagi mendapatkan ruang keadilan yang lebih baik,” jelasnya.
Di samping itu, beliau turut menyelar tindakan PH yang pasti akan menjadi hipokrit selepas ini.
“Jika mereka boleh menuduh Presiden UMNO sebagai kluster mahkamah walaupun telah dibebaskan dalam 40 pertuduhan VLN sebelum ini, adakah mereka akan melakukan perkara yang sama kepada Syed Saddiq?
“Rakyat akan melihat dan menilai betapa keadilan yang PH junjung selama ini hanyalah hipokrit dan bersifat terpilih,” katanya.