Pegawai Khas, Datuk Azizan Md Zain membuat laporan polis berkaitan Surat Akujanji yang menyokong Presiden UMNO menjadi Perdana Menteri, petang tadi.

Surat Akujanji tersebut kononnya ditandatangani oleh Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah pada 30 Oktober 2022 antara lainnya berikrar akan mencalonkan dan menyokong Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai calon Perdana Menteri dan lain-lain ikrar.

“Saya bersama rakan-rakan hadir ke Balai Polis Dang Wangi Kuala Lumpur membuat satu laporan polis tentang surat Akujanji yang ditularkan di Facebook.

“Tujuan saya membuat laporan polis adalah untu menyatakan kepada rakyat Malaysia bahawa Surat Akujanji tersebut adalah fitnah terhadap UMNO-BN dan bertujuan untuk menjatuhkan imej Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah yang dilihat sebagai orang Presiden,” kata Azizan kepada BN Comms, hari ini.

Sehubungan itu, Azizan menggesa siasatan segera dilakukan secara menyeluruh dan menyiasat pihak yang bertanggungjawab mencipta serta menyebarkan Surat Akujanji Palsu sekaligus mengheret mereka ke muka keadilan.

Terdahulu, satu akaun Facebook menggunakan nama Fadzil Haji Aziz memuatnaik dan memaparkan Surat Akujanji dengan kenyataan ‘Bukti… Nak jadi calon BN, wajib sokong Zahid jadi PM..’