Mahasiswa mangsa penipuan Pakatan Harapan
Bermula Mei 2018 menyaksikan permulaan detik hitam bagi rakyat Malaysia secara keseluruhan, termasuklah kumpulan mahasiswa.
Bantuan RM250 melalui Baucar Buku 1Malaysia yang diperkenalkan sejak tahun 2012 telah dimansuhkan dan digantikan dengan bantuan RM30 disamping janji manis untuk memansuhkan hutan PTPTN tidak dilaksanakan.
Lebih malang lagi bagi mahasiswa adalah lambakan graduan yang tidak mempunyai tempat untuk bekerja dalam mana-mana sektor.
Ia dapat dilihat menerusi laporan Jabatan Perangkaan Malaysia pada suku pertama 2019 yang merekodkan seramai 516,600 penganggur.
Dalam masa sama, seramai 238,286 penganggur termasuk 174,327 siswazah, mendaftar sebagai pencari kerja aktif dalam portal JobsMalaysia di bawah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Semenanjung.
Lebih malang lagi, ramai dalam kalangan siswazah menganggur itu adalah anak-anak yang menjadi harapan keluarga masing-masing yang selama ini tergolong dalam kelompok kumpulan isi rumah terendah, B40 dan keluarga miskin.
Malah Pakatan Harapan masih lagi gagal untuk mewujudkan satu juta peluang pekerjaan baru untuk anak muda seperti mana yang telah dijanjikan sebaliknya menyeru graduan dan anak muda untuk menjalankan aktiviti gig ekonomi.
Bertambah malang, Menteri Belia ketika itu, Syed Saddiq dalam usaha membawa masuk syarikat e-hailing dari negara seberang Indonesia, Gojek agar anak muda di negara ini boleh menjana pendapatan melalui gig ekonomi yang semua orang tahu bahawa pekerja gig ekonomi ini tidak mendapat faedah dan perlindungan akta pekerja 1955.
Kajian Separuh Penggal RMK-11 pula menunjukkan kadar pengangguran dinaikkan kepada 3.5% berbanding sasaran asal 2.8%.
Ini bermaksud, PH tiada perancangan yang jelas untuk memacu ekonomi negara ke arah yang lebih baik.
Keadaan ekonomi yang merosot akan memberi kesan kepada peluang pekerjaan, seterusnya kepada peningkatan kadar pengangguran.