Malaysia perlu kerajaan stabil untuk hadapi krisis ekonomi 2023 – Shabery Cheek
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menempelak tohmahan kononnya UMNO dan Barisan Nasional(BN) mahu menjalankan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan segera atas faktor kepentingan sendiri.
Dalam siri Bicara Nasional, Ahmad berkata sebagai parti yang bertanggungjawab, BN mengambil kira perkara yang paling penting iaitu bagaimana negara mahu mendepani cabaran ekonomi yang dijangka bakal melanda dunia pada tahun depan termasuklah Malaysia.
“Tapi ada orang yang meramal dari segi ekonomi global yang mesti diambil kira. Pada 2023, awal 2023 sehingga pertengahan atau pun akhir dijangkakan kemelesetan ekonomi dunia akan berlaku.
“Tiga sektor yang mesti dilihat adalah China, Amerika dan Eropah. Amerika dijangkakan berlaku inflasi di sana. Dan jika ianya berlaku sudah tentu federal mereka menaikkan lagi kadar faedah mereka dan ini menjadikan duit akan tersimpan di sana dan ringgit kita akan merosot dan ini akan menyebabkan inflasi di tempat kita juga.
“China zero covid, polisi mereka masih berterusan. Dia tutup negara mereka sedangkan dia merupakan trading partner kita yang terbesar, rakan dagang kita yang terbesar,” katanya.
Sementara itu, Eropah juga turut memberikan kesan terhadap ekonomi negara memandangkan perang yang berterusan di sektor tersebut, ditambah pula dengan kenaikan kos bahan api yang berterusan.
Ekoran itu juga, harga barangan lain seperti baja, jagung, kos pengangkutan dan sebagainya yang kian meningkat menjadi faktor kepada kemelesetan ekonomi global yang dijangka bermula pada tahun hadapan, 2023.
“Hendak menanganinya pula, kita perlukan kerajaan yang stabil dan kuat. Tak boleh kerajaan yang di dalam kerajaan itu ada dua atau tiga parti yang saling cemburu antara satu sama lain,” jelasnya.