Bekas Menteri Undang-Undang, Datuk Zaid Ibrahim menyatakan manifesto Perancangan Amal dan Usaha (PADU) Barisan Nasional (BN) untuk Malaysia yang dilancarkan baru-baru ini merupakan sebuah manifesto yang komprehensif.

Menurut Zaid, fokus BN adalah untuk membantu golongan masyarakat yang masih berada di dalam kelompok berpendapatan rendah.

“Skim bantuan asas pendapatan terkandung dalam manifesto sesuatu yang agak berevolusi kerana tidak pernah dilaksanakan sebelum ini.

“BN juga akan menangani semua masalah pinjaman PTPTN yang mencengkam banyak keluarga di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan yang dipetik daripada media portal.

Manifesto-manifesto BN yang lain juga menunjukkan BN komited untuk mengubah corak sistem pendidikan dan pada masa yang sama menyediakan akses internet 5G kepada semua sekolah di seluruh negara dalam tempoh 18 bulan, yang juga ada menerapkan silibus pengekodan komputer dan bergerak menuju ke arah pembelajaran digital.

Menjawab persoalan mengenai kedudukan Khairy Jamaluddin sebagai Perdana Menteri pada suatu hari nanti, Zaid mencadangkan Khairy untuk fokus terlebih dahulu pada kemenangan yang perlu diraih dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Saya cadangkan Khairy fokus terlebih dahulu di Sungai Buloh. Pastikan menang dalam PRU15 terlebih dahulu,” katanya kepada BN Comms.